Saturday, February 25, 2012

~Surat dari calon suamiku...

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...




Kumulakan warkah ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah saw kepada seisi alam. Wanita solehah! Idaman semua muslimin di alam maya ini.. Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang kita cintai, pilihlah wanita yang mampu menyejukkan pandanganmu dan juga baitul muslim yang bakal dibina tika sampai saat itu, insyaAllah.

Calon Zaujahku,
"Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu..”
Telah dinukilkan panduan sepanjang zaman, itulah lirikan utama buatku memilih calon isteri. Tiap baris itu telah menjadi hafalanku sejak aku mengenali dunia baligh ini. Jika harta yang kau idamkan, ketahuilah diriku tidak punya apa-apa harta di dunia ini melainkan ilmu agama yang telah dititipkan buatku oleh guru dan ibubapaku. Tiada harta untuk kupersembahkan dalam taklik ijab yang bakal menanti. Tiada harta sebagai jaminan bahawa kau akan menikmati sedikit kesenangan apabila ijab bersaksi telah dilafazkan. Hanya ketenangan yang mampu ku sediakan buatmu kerana aku pernah terbaca kata-kata ...


"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨ (Ar-Rum: 21)


Jika keturunan yang mulia itu yang kau dambakan, ketahuilah jua ku hanyalah insan biasa di dunia ini. Ibubapaku telah menitipkan aku di bawah pengawasan Allah sebagai penjaga mutlak diriku. Namun apa yang pasti, aku adalah keturunan mulia, ayahanda Nabi Adam as dan bonda Hawa as, sama seperti mu. Ingin aku berkongsi lafaz sahih ini denganmu ...


"... maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya. Jika Allah menolong kamu maka, tiada seseorangpun yang boleh menghalang kamu, dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan demikian) ? dan ingatlah kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri...” (Ali Imran : 159-160)
Kecantikan,kekayaan dan kesempurnaan itulah pandangan pertama setiap insan. Malah aku meyakini bahawa kau juga tidak terlepas seperti insan yang lain. Ketahuilah, jika kecantikan itu yang kau inginkan daripada diriku, kau telah tersalah langkah. Tiada kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan padamu. Telah aku hijabkan kekayaan diriku ini dengan amalan ketaatan kepada tuntutan agama yang kucintai. Kau hanya membuang masa jika kau menginginkan kesempurnaan lahiriah semata-mata. Aku tidak menjanjikan aku mampu membahagiakan rumahtangga nanti, kerana aku memerlukan engkau untuk bersama-samaku menegakkan dakwah islamiyyah ini, dan aku merelakan diri ini menjadi penolongmu untuk membangunkan sebuah markas dakwah dan tarbiyyah ke arah jihad hambaNya kepada Penciptanya yang agung.

Melalui pencarian ilmu agama bersama, marilah kita jadikan pernikahan ini sebagai risalah demi meneruskan perjuangan Islam. Aku masih kekurangan ilmu agama, tetapi berbekalkan ilmu agama yang telah dibekalkan ini, aku ingin menjadi suami yang sentiasa mendapat keredhaan Allah dan isteriku untuk memudahkan aku membentuk usrah muslim antara aku, kau dan anak-anak kita untuk dibaiahkan dengan ketaatan kepada Allah Yang Maha Esa. Aku bercita-cita bergelar pendamping soleh, seperti mana yang dijanjikan Rasul,

" Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air kemukanya." (Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)

Renungilah FirmanNya ini, lalu kau akan tahu hakikat diriku dan dirimu dipertemukan oleh Allah atas namanya pertemuan dan jodoh.

“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (An Nisaa’ : 1)

Calon Zaujahku yang dirahmati,
" Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".(An-Nissa':34)

Benarlah seperti apa yang telah Dia katakan dalam KalamNya yang mulia, aku meyakini bahawa engkau adalah pembantu untukku dan anak-anak pewaris kejihadan Islam yang bakal lahir. Jadikanlah pernikahan ini sebagai asas pembangunan iman dan bukannya untuk memuaskan bisikan syaitan yang menjadikan ikatan pernikahan sebagai tunjang nafsu semata-mata. Moga diriku dan dirimu sentiasa didampingi kerahmatan dan keredhaanNya.

Lakukanlah tanggungjawabmu itu dengan syura kesabaran, qanaah ketabahan moga kita akan menjadi salah satu daripada jemaah saf menuju ke syurga insyaAllah. Ingin aku berbicara mengenai pemberianmu kepadaku. Kau terlalu membimbangkan akan kehendak bersifat duniawi semata-mata? Ketahuilah, aku tidak menginginkan kekayaanmu yang hanya akan menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh Allah atas dasar agama. Cukuplah seandainya, mahar untukmu dariku sebuah Qalam Mulia, Al-Quran, kerana aku meyakini Qalam itu mampu memimpin rumahtangga kita dalam meraih keredhaanNya bukan kekayaan dunia yang bersifat sementara. Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah ini melalui pernikahan, kerana ia adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada agamaku, insyaAllah. Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang sekelilingmu, itulah yang aku harapkan daripada kekayaan duniawi yang kau sediakan.

Kutitipkan sebahagian daripada pembacaanku dalam Jalan Dakwah Mustaffa Masyhur, tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana'ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna'im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini. Terlalu panjang rasanya aku mencoretkan warkah ini. Cukup dahulu buat tika ini, andai diizinkan aku akan kembali menitipkankan lagi kiriman bertintakan hati ini. Akhir bicara, maaf andai tiada pertemuan yang kususuli kerana padaku biarlah merindu daripada jemu tatkala kita disatukan.

Wassalam~



Calon Zauji...
Sungguh, ku mengharapkan insan seperti dirimu adalah bakal suamiku, seorang lelaki yang telah dipilih oleh Allah yang akan mengisi ruang hidupku kelak hingga ke SyurgaNya...biarpun tiada pernah bicara antara dirimu dan diriku..ku akan sentiasa mendoakan kebahagiaan dirimu di sana kerana cintaku padamu adalah kerana cintamu pada Allah.Ketahuilah, lelaki sepertimu yang ku dambakan sebagai calon imamku dalam hidupku untuk memimpinku dan anak-anakku kelak untuk turut mencintaiNya di dunia dan akhirat ..amin ya Allah..amin ya Rabbal a'lamin...

~Pertunangan Mengikut Syaria't

Bismillahirrahmaanirrahim...



Sebelum seorang lelaki ingin menghantar pinangan,
utuskanlah wakil untuk meninjau latar belakang
peribadi wanita pilihannya itu. Begitu juga
sebaliknya bagi pihak keluarga wanita dalam
membuat keputusan untuk menerima bakal
menantunya.


Hendaklah diselidiki dahulu diri lelaki yang hendak
meminang itu tentang agamanya, fahamannya dan
soal-soal hubungan dengan Tuhan sebagai pokok
utama.


Pertama; adakah fardhu ain si lelaki benar-benar
beres sebab suamilah tunjang yang bakal untuk
mengajar anak-anak dan isteri bila telah
mendirikan rumahtangga kelak. Memerhatikan
perlaksanaan ibadah lelaki yang meminang itu
seperti sembahyang secara individu dan
secara berjemaah. Memerhati matlamat perniagaan
dan perusahaan atau matlamat dalam pekerjaan
lelaki berkenaan.


Orang sekarang tidak lagi memandang soal-soal
hubungan dengan Allah sebagai pokok utama
sejahteranya rumahtangga. Setiap kali
berlangsungnya majlis merisik perkara utama yang
akan ditanya ialah hal-hal kemewahan keduniaan
saja syarat yang akan mensejahterakan dan
mengukuhkan rumahtangga.


Tidak hairanlah bila lepas kahwin kehidupan anak-
anak dan isteri terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk
ajar yang sewajarnya. Akhirnya anak-anak tidak
taat kepada ibubapa dan isteri jadi ‘Queen Control’
kepada suami. Akhirnya, suami hilang hemahnya di
dalam mentadbir
rumahtangga menurut hukum Islam.


Ibubapa tidak boleh menolak pinangan seseorang
lelaki itu semata-mata kerana darjat yang rendah.
Sebaliknya, mestilah menolak pinangan seseorang
lelaki itu apabila diketahui bahawa lelaki berkenaan
berakhlak buruk seperti tidak sembahyang atau
suka berfoya-foya,
berjudi sekalipun dia berpangkat dan mempunyai
harta.

Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya
dengan lelaki yang fasik maka sebenarnya dia telah
memutuskan silaturrahim dengan anaknya.”

Rasulullah saw bersabda lagi:

“Jika datang kepada kamu pinangan daripada
seseorang lelaki yang kamu redha terhadapnya
agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima.
Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah
dan kerosakan di muka bumi.”


Setelah membuat perbincangan, wali wanita ada
hak menentukan samada mahu menerimanya atau
tidak, cuma secara beradapnya eloklah ditanya
kepada empunya diri terlebih dahulu.


Mana-mana wanita yang tidak pandai membuat
keputusan, eloklah memberi keputusan kepada
walinya dalam membuat keputusan. Sebab pilihan
walinya tentu tepat kerana seseorang bapa tidak
akan sanggup menzalimi anaknya. Wali yang baik
akan memilih lelaki yang beragama dan
berakhlak mulia.


Akan tetapi kalau si anak itu mempunyai pilihan
sendiri yang agak lebih baik agamanya dari pilihan
bapanya itu, bapa hendaklah menghormati hasrat
anaknya itu.


Untuk mendapat keberkatan Allah, dari awal majlis
peminangan lagi kita mesti jaga iaitu tidak
berlakunya percampuran di antara lelaki
perempuan. Keberkatan Allah ini tidak dapat
hendak kita gambarkan sebab hati yang akan
terasa ketenangan itu. Kesannya bukan seminggu
dua tetapi sampai ke hari tua.


Contohnya, orang di zaman salafusaleh,
rumahtangga mereka berkat sebab dari awal
peminangan lagi majlisnya sudah dijaga.


Tetapi kalau dalam majlis peminangan itu, awal-
awal lagi kita tidak dapat menjaga syariat dan
peradapan menurut Islam. Sampai akhir hayat pun
mungkin rumahtangga itu nampak tak cantik, tak
bahagia. Ada saja kusut masainya. Hati pun
kadang-kadang tidak tenang untuk tinggal di
rumah dan inilah yang banyak berlaku hari ini.


Sebab itulah amat penting dijaga suasana majlis ini.
Biarlah bersusah-susah sedikit asalkan syariat Allah
dapat kita jaga dengan baik.


Seperkara lagi, jangan dibebani rombongan
peminangan dengan berbagai-bagai hantaran yang
mahal-mahal. Contohnya pakaian, makanan, buah-
buahan, alat solek, beg tangan, kasut, cincin
bertunang, cincin nikah dan cincin hadiah.
Memadai dngan sebentuk cincin saja sudahlah.


Malah ajaran Islam tidak pernah menyusahkan umat
Islam dengan cara demikian. Bila hantaran terlalu
tinggi hilang keberkatan rumahtangga.


Harus diingat, yang paling layak dalam menentukan
mas kahwin ini ialah diri wanita itu sendiri, kerana
mas kahwin itu memang haknya. Walau
bagaimanapun sekarang ini semua negeri sudah
menetapkan berapa mas kahwin untuk wanita
tersebut bila berkahwin, boleh kita terima, tetapi
sekiranya diri wanita tersebut hendak menetapkan
berapa mas kahwinnya, kita perlu hormati.
Begitulah kehendak syariat.


Sebab itulah dalam soal ini, Rasulullah
memaklumkan kepada umat Islam bahawa mas
kahwin yang paling baik yang terendah. Sabda
Rasulullah saw:


“Bermula yang terbaik perempuan itu iaitu yang
terlebih murah mas kahwinnya.”

Sabda Rasulullah saw lagi:

“Sebesar-besar berkat pernikahan ialah yang paling
sediki mas kahwinnya.”

Bersabda Baginda lagi:

“Setengah daripada berkat permpuan itu iaitu
segera dipersuamikan dan segera rahimnya itu
kepada beranak dan murah mas kahwinnya.”


Kita patut mengetahui setengah daripada mas
kahwin isteri Rasulullah saw itu hanya sepuluh
dirham saja; sama nilainya dengan harga batu
pengisar tepung atau sebiji tempayan atau sebiji
bantal di rumahnya.


Setengah daripada para sahabat berkahwin dengan
mas kahwin hanya seberat sebiji buah kurma (lebih
kurang lima dirham)


Manakala Said Ibnu Musayyab mengahwinkan anak
perempuannya dengan Abu Hurairah berbekalkan
mas kahwin sebanyak dua dirham sahaja.


Sayidina Umar sangat melarang jika ada wali-wali
perempuan yang menaikkan mas kahwin anak gadis
mereka. Katanya:


“Tiada berkahwin Rasulullah dan tiada
mengahwinkan ia anaknya yang perempuan dengan
isi kahwin yang lebih daripada empat ratus dirham.”


Mas kahwin bukanlah semestinya hanya dengan
wang atau emas permata, ayat-ayat Al Quran juga
boleh dijadikan mas kahwin. Contohnya ayat dalam
surah Al Fatihah atau Al Ikhlas, tidak kiralah
seberapa banyak yang dikehendaki.


Akan tetapi apa yang dinamakan sebagai hantaran
tidak wujud dalam Islam. Hantaran itu merupakan
adat yang sepatutnya sudah lama ditinggalkan. Ini
adalah kerana hantaran itu sebenarnya akan
digunakan oleh pihak keluarga wanita untuk
persiapan majlis perkahwinan.
Kalau begitu halnya, hantaran tidak patutlah
diminta kepada bakal menantunya. Kecuali bakal
menantu hendak memberi hantaran, boleh kita
terima, inilah cantiknya ajaran Islam dan ada
hikmahnya.


Pada hari pertunangan, hendaklah ia menggalakkan
tunangnya agar memperluatkan agamanya dan
bersikap zuhud (bukan buang dunia, tetapi hati
tidak terpaut kepada dunia). Hendaklah bersama-
sama berazam di atas satu dasar hidup iaitu
qanaah, memadai dengan apa yang
telah ada tanpa rasa tamak.


Setelah bertunang, janganlah mengenakan sesuatu
tempuh yang agak lama jaraknya dengan
penikahan. Sebaik-baiknya dilaksanakan
pernikahan itu secepat mungkin agar terhindar dari
berbagai fitnah manusia.


Elakkan pertemuan yang sia-sia semasa dalam
pertunangan. Islam tidak memberikan kebebasan
bergaul selepas meminang kerana menjaga maruah
wanita dan lelaki itu sendiri. Pertunangan yang
dibuat bukanlah sebagai tiket yang membolehkan
seseorang lelaki itu untuk bergaul atau berdua-
duaan dengan bakal isterinya.


Lelaki hanya diberi peluang melihat dan meneliti
wanita itu dalam ruang yang aman daripada fitnah
sosial dan kerosakan maruah. Walau
bagaimanapun, pertemuan dengan tunang
diharuskan sekiranya mengikut syariat.


Lelaki hanya dibolehkan melihat pada muka dan
kedua pergelangan tangannya sahaja dan tidak
melihat bahagian aurat tunang.


Perbualan hanya sekadar menanya khabar, memberi
maklumat, menerima maklumat dan memberi
nasihat. Perbualan yang tidak berfaedah memadu
kasih, berjanji mesra, bercinta asmara dan
sebagainya sangat dilarang atau haram hukumnya.


Pergaulan yang melibatkan tunang samada waktu
melihat atau berbual hendaklah bersama
muhrimnya. Di larang melihat tunang secara
bersendiri. Rasulullah saw telah mengingatkan kita
di dalam sabdanya:


“Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari
Kemudian maka jangnlah sekali-kali menyendiri
dengan seorang perempuan yang tidak disertai oleh
mahramnya, sebab nanti yang jadi orang ketiganya
adalah syaitan”

Rasulullah saw bersabda lagi yang maksudnya:

“Tidak boleh sekali-kali seorang lelaki menyendiri
dengan perempuan yang tidak halal baginya,
kerana orang ketiganya nanti adalah syaitan,
kecuali kalau ada muhramnya.”



 10 Soalan Sebelum Meminang


Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, ‘dulu lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin’.

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa.

Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’, bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait yang kini aktif mengadakan program-program berbentuk bimbingan kekeluargaan, berdasarkan pengalaman dan pengamatannya ketika mengendalikan kes-kes berkaitan dengan masalah rumahtangga menyimpulkan antara sebab berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.

Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga. Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chating dan sebagainya.

Percintaan sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka. Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya. Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.

Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’ mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan. Soalan-soalan ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di tempat suci dan terpencil. Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda dengan si dia.

10 soalan itu adalah:

1. Apakah wawasan hidupnya? 
Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup anda. Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.

2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur yang jelas mengenai perkahwinan amat penting. Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.

3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?
Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa. Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.

4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata. Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.

5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?
Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan. Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil. Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.

6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?
Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi. Orang macam mana yang anda cari?

7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?
Perkahwian bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih. Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.

8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.

9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri. Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.

10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?
Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri. Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan. Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya. Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga?

Apabila anda telah mendapat jawapan yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar. Pastikan anda mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas.


Pertunangan boleh berlaku dengan lima cara:
 - Lelaki memberitahu hajatnya untuk
meminang kepada seorang perempuan
secara langsung.
- Lelaki memberitahu hajatnya untuk
meminang kepada wali perempuan.
- Menggunakan pihak ketiga untuk
meminang.
- Wali menawarkan anak perempuannya
kepada seorang lelaki soleh.
- Perempuan menawarkan dirinya sendiri
kepada seorang lelaki soleh.
Sekiranya kedua-dua pihak telah
bersetuju dan menerima (menggunakan
salah satu cara di atas) maka ini
adalah sudah dikira bertunang di sisi
syarak.

 Pertunangan di sisi adat
Kebiasaannya pihak lelaki akan
memberikan barang-barang hantaran ke
rumah pihak perempuan pada majlis
pertunangan yang telah ditetapkan.
Kemudian perempuan akan disarungkan
cincin di jari manisnya sebagai tanda
sudah bertunang. Maka pihak perempuan
akan menetapkan dan membincangkan
hantaran untuk perkahwinan berdasarkan
status seseorang perempuan itu. Dan
diakhiri dengan bacaan doa dan sedikit
jamuan ringan. Majlis pertunangan ini
diadakan selepas kedua-dua pihak
bersetuju untuk bertunang selepas adat
merisik.
Pemberian cincin semasa pertunangan
adalah suatu adat yang diamalkan di
Malaysia (mungkin diambil dari warisan
orang bukan Islam) dan ia bukanlah
satu syariat yang telah ditetapkan
oleh Islam. Namun ia tidaklah menjadi
satu kesalahan sekiranya pemberian
cincin itu diberikan sekadar tanda
pertunangan selagimana tidak menyalahi
syariat. Perlu diketahui bahawa
menganggap perbuatan menanggalkan
cincin sebagai tanda pertunangan
diputuskan maka ia adalah bercanggah
dengan Islam.

Hebahan Pertunangan
Tidaklah digalakkan menghebahkan
pertunangan sepertimana perkahwinan.
Pada pendapat saya bahawa hebahan
pertunangan sekadar perlu adalah
terletak di atas budi bicara keluarga
masing-masing. Adapun hebahan tentang
perkahwinan adalah digalakkan (sunat)
oleh Islam dan menghadirinya adalah
wajib.


Monday, February 13, 2012

~Bagaimana Konsep 'Taaruf' dalam Islam ?

Bismillahirrahmaanirrahim...



    Wahai ikhwan jangan mudah untuk kau mengatakan ta’aruf dengan seseorang. Fahami duhulu apa erti ta’aruf itu sebenarnya sebelum kau berani mengatakannya. Jangan dikotori sucinya makna ta’aruf itu sendiri, sebuah syariat harus ditegakkan untuk itu lebih baik diam jika belum sedia untuk menjalaninya.

Mampukah setiap dari kita memikul semua perasaan cinta dan kasih sayang yang benar-benar sesuai dengan syariat? Cinta harus diuruskan dengan baik, terutama cinta pada Allah SWT, Rasulullah SAW, cinta terhadap orang-orang soleh dan beriman. Jadi tidak harus memberi cinta secara murahan atau bahkan melanggar syariat Allah SWT.

Bagaimanakah ciri – ciri ta’aruf Islami yang sebenar dalam mencipta rumah tangga:

1.Melakukan Istikharoh dengan sekhusyuk-khusyuknya

Setelah anda mendapatkan data dan foto, lakukanlah istikharah dengan sebaik-baiknya, agar Allah SWT memberikan jawapan yang terbaik. Dalam melakukan istikharah ini, janganlah ada kecenderungan pada calon yang diberikan kepada kita. Tapi ikhlaskanlah semua keputusannya pada Allah SWT. Luruskan niat kita, bahawa kita berkahwin atas alasan benar-benar ingin membentuk rumah tangga yang sakinah mawaddah warohmah. Seseorang biasanya akan mendapat sesuatu sesuai dengan apa yang diniatkannya.

 2.Menentukan Jadual Pertemuan (ta’aruf Islami)

Setelah data peribadi didapatkan maka perlu adanya sebuah pertemuan yang diatur oleh murabbi masing2 pihak

 3.Gali pertanyaan sedalam-dalamnya

Setelah bertemu, hendaklah didampingi murabbi masing – masing , lalu saling bertanya sedalam-dalamnya, dari maklumat peribadi, keluarga, hobi, penyakit yang diderita, visi dan misi tentang rumah tangga. Biasanya pada tahap ini, baik perempuan mahupun lelaki agak malu-malu dan gementar, maklumlah tidak mengenal sebelumnya. Tetapi dengan berjalannya waktu, semua akan menjadi cair. Peranan pembimbing juga sangat diperlukan untuk mencairkan suasana. Jadi, suasana tidak akan menjadi kaku dan terlalu serius. Diperlukan suasana humor, santai namun tetap serius.

Pihak lelaki mahupun perempuan harus bertanya sedalam-dalamnya, jangan disembunyikan. Pada tahap ini, biasanya pertanyaan-pertanyaan pun akan mengalir.

.4.Menentukan waktu ta’aruf dengan keluarga Perempuan

Setelah melakukan ta’aruf dan menggali pertanyaan-pertanyaan sedalam-dalamnya, dan pihak lelaki merasakan adanya keserasian visi dan misi dengan calon perempuan, maka pihak lelaki pun harus segera untuk melakukan ta’aruf ke rumah pihak perempuan, untuk berkenalan dengan keluarganya.. Namun ingat, pihak lelaki jangan datang seorang diri, untuk menghindarkan fitnah dan untuk membezakan dengan orang yang bercouple.

 5.Keluarga pihak lelaki mengundang silaturahim pihak perempuan ke rumahnya

Dalam hal berkahwin tanpa bercouple, adalah wajar jika orang tua pihak lelaki ingin mengenal calon menantunya (akhwat). Sebaiknya ketika datang ke rumah pihak lelaki, pihak perempuan juga tidak bersendirian, untuk menghindari terjadinya fitnah.

 6.Menentukan Waktu Khitbah

Setelah terjadinya hubungan silaturahim dikedua belah pihak, dan sudah ada keserasian visi dan misi dari pihak lelaki dan perempuan, juga dengan keluarganya, maka janganlah tunggu lama-lama. Segeralah menentukan waktu untuk mengkhitbah akhwat (memimang/melamar pihak perempuan). Jarak waktu antara ta’aruf dengan khitbah, sebaiknya tidak terlalu lama, kerana takut menimbulkan fitnah.

 7.Tentukan waktu dan tempat pernikahan

Pada prinsipnya semua hari dan bulan dalam Islam adalah baik. Jadi hindarkanlah mencari tanggal dan bulan baik, kerana takut jatuh ke arah syirik. Lakukan pernikahan sesuai yang dicontohkan Rasulullah SAW, iaitu sederhana, mengundang anak yatim, memisahkan antara tetamu lelaki dan wanita, pengantin wanita tidak bertabarruj (berdandan), makanan dan minuman juga tidak berlebihan.

 Semoga dengan menjalankan ciri – ciri ta’aruf secara Islam di atas, Insya Allah akan terbentuk rumah tangga yang sakinah mawaddah warahmah… Yang menjadi dambaan setiap keluarga muslim baik di dunia mahupun diakhirat.

wallahua'lam.


(Sumber:Akuislam.com)