Tuesday, June 28, 2011

~Hikmah di Sebalik Isra' Mi'raj

  Marilah kita mendengar firman Allah Taala yang menceritakan tentang peristiwa agung yang berlaku dalam sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun para ulama telah bertelingkah di dalam menentukan bulan dan tahun berlakunya Israk tetapi ia adalah peristiwa yang benar-benar berlaku kepada Rasulullah s.a.w. kerana peristiwa ini dinyatakan oleh al-Quranul Karim dan diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadisnya yang sahih, yang diriwayatkan oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi.
 
  Matlamat yang penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah s.a.w. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya pada malam yang sangat bersejarah itu.
 Firman Allah Taala (maksudnya): "Maha suci Tuhan yang telah menjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Baitulmaqdis) yang Kami telah berkati di sekelilingnya supaya Kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat Kami (tanda-tanda kebesaran dan ketuhanan Kami), sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israk: 1)
 
  Peristiwa Israk dan Mikraj untuk menyatakan Rasulullah s.a.w. adalah benar seorang rasul yang dipilih oleh Allah SWT, membawa satu agama dan pengajaran yang bernama Islam,
Firman Allah (maksudnya): "Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam." (A-li Imran: 19). Dan Allah menyatakan juga (maksudnya): "Dan sesiapa yang mencari (berpegang) dengan agama selain daripada Islam, maka Allah tidak akan menerima dan pada hari akhirat dia tergolong dalam orang-orang yang rugi." (A-li Imran: 85)
 
  Pada malam yang bersejarah itu, Rasulullah s.a.w. dihimpun bersama dengan roh para nabi dan rasul 'alaihimus solatu wassalam di Masjidil Aqsa, mereka solat berjemaah bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi imam kepada mereka. Ini menandakan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu daripada mata rantai ajaran Islam yang bersambung-sambung dari seorang nabi dan rasul kepada nabi dan rasul yang lain, bermula dari Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan nabi akhir zaman, tidak ada lagi nabi selepas Muhammad s.a.w. Allah SWT memilih nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan manusia. Mereka terdiri daripada manusia yang memiliki akhlak yang luhur lagi tinggi, bersifat benar, amanah, menyampaikan, cerdik dan bijaksana di kalangan kaumnya dan dipelihara daripada melakukan kesalahan dan dosa. Adapun mereka yang tidak memahami dan buta al-Quran tidak akan percaya kepada peristiwa Israk dan Mikraj, kerana pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. ditemukan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan Bani Israil dan nabi-nabi dan rasul di kalangan umat-umat yang lain, yang cerita-cerita mereka disebut dalam al-Quran, sebuah kitab Allah yang masih wujud sehingga hari ini. Ini menandakan kebenaran al-Quran. Kebenaran al-Quran bukan sahaja menandakan betulnya Rasululah s.a.w. bahkan juga menjadi pengajaran kepada umatnya. Semua nabi adalah menganut agama yang satu iaitu agama Islam. Semua mereka bersolat dalam keadaan menghadap Allah SWT dengan cara-cara solat yang diajar oleh Allah. Semua nabi berpegang dengan akidah tauhid lailahaillallah, tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah, tuhan yang layak disembah kepada-Nya, tuhan yang menjadikan dan menguruskan alam ini. Alam ini tunduk di bawah undang-undang peraturan Allah, maka wajib manusia hanya tunduk kepada undang-undang dan peraturan Allah SWT. Itulah ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul yang terpaksa berjuang mengharungi perjuangan yang panjang. Di dalam peristiwa itu juga ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w. rasul yang disertai oleh pengikut yang ramai. Ada rasul yang disertai oleh pengikut yang sedikit, ada yang berjalan seorang diri, ada nabi yang dibunuh dan ada yang dipenjara. Itulah nabi-nabi dan rasul-rasul yang membawa ajaran Allah yang berdepan dengan cabaran golongan manusia yang menjadi bala tentera iblis yang akan wujud sehingga hari kiamat. Peristiwa Israk dan Mikraj untuk meningkatkan semangat Rasulullah s.a.w. supaya jangan takut dan gentar di dalam perjuangan Islam, kerana Islam yang dibawa itu ialah Islam Allah SWT. Seluruh kuasa besar yang ada dalam dunia adalah habuk-habuk yang kecil yang boleh ditiup angin, bahkan ia lebih kecil lagi apabila berdepan dengan ketuhanan Allah SWT pada hari kiamat. Seseorang yang menganut Islam hendaklah merasa mulia, tinggi dan hebat dengan Islam, dengan syarat mereka berpegang dengan Islam. Allah SWT memuliakan umat ini dengan Islam. Kehinaan yang menimpa umat ini apabila mereka meninggalkan Islam. Ditunjukkan pada malam Israk dan Mikraj itu di mana perginya orang yang berpegang dengan Islam sehingga mati dan ke mana arah orang yang menyeleweng dan meninggalkan agama Islam. Orang yang berpegang dengan Islam diletakkan di syurga dan mereka yang menyeleweng daripada Islam berada di dalam neraka. Hal ini digambarkan dengan jelas supaya diberitahu kepada umatnya sehingga kiamat. Marilah kita menghayati peristiwa Israk dan Mikraj dengan bukan hanya kita mendengar cerita yang berlaku di dalamnya tetapi yang lebih penting ialah untuk menambah iman kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran Islam untuk sehidup semati dengan Islam sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT.
 
  Firman Allah (maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam." (A-li Imran: 102).
 

Saturday, June 18, 2011

~Jom Kenali: 'USRAH' ?


Apabila kita menyebut wasilah atau kaedah kita bekerja, terdapat unsur-unsur yang perlu difahami antaranya ialah wa'I (sedar) dan waqi'I (realistic). Kita hendaklah sedar bahawa kita ialah pendakwah dan bukannya penghukum atau qadhi. Tugas kita adalah untuk berusaha semaksimum mungkin untuk memanggil dan mengajak, bukan untuk berebut mahupun memaksa. Dalam hal ini, dua wasilah kita gunakan, iaitu wasilah umum dan wasilah khusus.
Dalam wasilah umum, tugas kita adalah untuk menyampaikan Islam kepada umum dengan dakwah sama ada dengan lisan, tulisan mahupun dengan qudwah hasanah (contoh teladan yang baik). Kita hendaklah menerangkan apa itu Islam yang syamil (menyeluruh) dan apa itu aqidah yang benar. Kesemuanya ini perlu kembali kepada pentafsiran al-Quran dan al-Sunnah oleh ahlinya dan bukan yang diabstrakkan oleh ahli fikir semata-mata.
Kita mengadakan majlis ilmu, majlis masyarakat dengan unsur-unsur Islam dan majlis-majlis lain yang boleh kita sampaikan mesej Islam. Marhalah ini dikenali sebagai marhalah al-ta'rif (pengenalan) yang kandungan utamanya ialah Islam dan iman, bukannya perkumpulan. Hanya apabila telah diyakini bahawa mad'u (sasaran dakwah) dapat menerima konsep Islam sebagai al-Din yang syamil barulah dipindahkan usaha kita kepada wasilah khusus.
Dalam wasilah khusus, konsep 'amal jama'i ialah unsur yang ditekankan dan di sinilah bermulanya kepentingan usrah sebagai satu unit terpenting dalam gerakan. Dalam wasilah ini ada dua marhalah yang perlu dilalui iaitu takwin (pembentukan) dan tanfiz (pelaksanaan).
Dalam marhalah al-takwin, unsur-unsur yang telah dikenal pasti dan yang dapat menerima konsep yang telah dijelaskan tadi hendaklah dipupuk dengan satu canaian seperti yang disebut oleh Sheikh Sa'id Hawwa sebagai nizam al-da'wah yang berbentuk sufi pada rohnya dan ketenteraan dalam amalannya, yang syiarnya ialah perintah dan taat.
Ikhwah hendaklah melatih diri untuk sentiasa berada dalam keadaan peka dan bersedia menerima arahan dan tanggungjawab kerja. Marhalah inilah yang dikenali sebagai tajnid untuk membentuk satu barisan kader yang telah mempunyai satu tasawur yang jelas terhadap Islam dan matlamat perjuangan. Di sini beberapa pengorbanan diperlukan dan pengorbanan akan merupakan sebab kepada peningkatan iman dan Islam kita kerana proses pencernaan akan berlaku dan beberapa ujian akan mula dirasakan.
Marhalah al-tanfiz, marhalah kedua, ialah marhalah sebenar yang akan menguji komitmen kita terhadap segala teori yang telah kita jalani. Dalam marhalah ini kita akan benar-benar berada di tengah-tengah medan juang dan di sinilah batas yang akan menguji keikhlasan kita kepada Allah Aza Wa Jalla.
Banyak orang yang boleh berteori dan banyak orang pula yang boleh menyatakan Islam itu syamil dan kamil tetapi belum tentu yang banyak itu akan sanggup menanggung berbagai-bagai mehnah dan ibtila' (tribulasi dan ujian) yang akan berada di hadapannya.
Konsep Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam akan terbukti kalau kita berani membenarkan dan membawa Islam itu ke tengah-tengah medan tanpa mengira sebarang halangan yang didatangkan oleh manusia sama ada harta, kedudukan, pangkat, nama dan sebagainya.
USRAH SEBAGAI TUNJANG DALAM TARBIAH HARAKIAH
Proses tarbiah Islamiah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.
Usrah yang berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna keluarga, merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah. Proses pembentukan itu bermakna makna penekanan dan perbincangan dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh. Penekanan itu ialah terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi). Penekanan itu akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.
Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan 'amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.
Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasI oleh kebatilan yang kemas. Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar pelaksanaannya yang berkesan akan menguntungkan Islam dan jamaah.
PENTADBIRAN USRAH
Setiap naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas--jangan sampai ke peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah. Dalam hubungan ini, isi usrah janganlah dijumudkan dengan hanya membaca teks dan menghafal. Sebaliknya, pelaksanaan usrah hendaklah dipelbagaikan bertepatan dengan ciri tarbiah yang menekankan setiap aspek Islam. Kepelbagaian boleh dilakukan dalam bentuk pembacaan, perbincangan, rehlah (perkelahan), riadah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.
  • Usrah mempunyai beberapa ciri yang membezakannya daripada nizam al-tarbiyah yang lain dan antara ciri tersebut ialah:
  • Usrah bersifat mutawasil (berterusan): Sesuatu pembentukan yang bersifat sekali sekala atau terputus-putus tidak akan dapat mencapai kesan yang diharapkan. Ciri ini akan membantu proses perkembangan dan penghayatan secara yang lebih berkesan.
  • Usrah merangkumi semua ahli sama ada pengikut, pekerja mahupun pemimpin. Pastikan tidak ada ahli yang terlepas daripada program tarbiah.
  • Dirancang dengan rapi dari semua sudut. Dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh nuqaba' dan ahli.
Antara ciri keberkesanan sesuatu usrah ialah apabila persoalan di bawah ini ditanya, jawapannya dapat diberikan dengan sempurna:
  • Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam? Sejauh mana konsep al-ta'awum (bekerjasama) di kalangan ahli dalam membantu proses penghayatan Islam? Sejauh mana ikatan dibentuk? Sejauh mana pula pelaksanaan ikatan itu dalam bentuk amalan?
Akhirnya marilah kita sama-sama membaharui syahadah perjuangan kita dengan mengulangi ucapan Allahu rabbuna (Allah tuhan kami), al-Rasul za'imuna (Rasul pemimpin kami), al-Quran dusturuna (al-Qur'an perlembagaan kami), al-jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-maut fi sabilillah asma amanina (mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami).
Sesungguhnya Islam tidak berhajat kepada kita tetapi kitalah yang berhajat kepada Islam dan hajat ini tidak akan dapat dipenuhi kalau keindahan dan kesyumulan Islam itu hanya kita teorikan dan tidak dicernakan dalam amalan dan perbuatan kita.
وَأَوْفُواْ بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْؤُولاً...Dan penuhilah perjanjian dan sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
(Surah Al-Isra' 17: Ayat Ke 34)


Sedikit perkongsian untuk sahabat2..ingatlah..;

 

  • Matlamat sesuatu gerakan islam ialah utk menegakkan agama islam.
  • Kejayaan pertarbiyahan ahli atau output dari manhaj tarbiyah diukur melalui kesanggupan utk melakukan pengorbanan.
  • Penting utk mengenali sahabat2 yg bersama-sama dlm perjuangan, dgn cara bermusafir bersama, makan bersama dan solat bersama.
  • Antara kejayaan yg perlu ada pd sebuah jemaah ialah ikatan ukhuwah yg mantap, boleh dibentuk melalui rehlah,etc sehingga dapat mengenali keluarga sahabat, baik sangka sesama sahabat dan memupuk perasaann utk berkorban sesama ahli.
  • Semua ahli jemaah perlulah bersungguh dlm bergerak dan ikhlas dlm sebarang tindakan.
wallahua'lam..=)

~Ramai Tutup Akaun 'Facebook' Kerana Kesedaran Bahaya Maklumat Peribadi Terdedah.



Britain - Penutupan akaun laman jaringan sosial Facebook yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini seolah-olah menjadi petanda kepada permulaan zaman lesu laman web tersebut.

Pakar psikologi Internet, Graham Jones memberitahu pengguna Facebook mula berasa bosan setelah satu tempoh masa menggunakan Facebook.
"Adalah sesuatu yang normal bagi seseorang individu teruja menggunakan sesuatu yang baru. Dia kemudian akan berasa bosan dan beralih pada perkara baru," katanya.

Kajian berkaitan penggunaan Facebook yang dijalankan di United Kingdom (UK) menunjukkan sebanyak 100,000 pengguna di Britain telah menutup akaun mereka sejak bulan lalu.

Penutupan secara mendadak itu turut dikaitkan dengan kebimbangan pengguna Facebook mengenai pencerobohan data dan maklumat peribadi mereka. Malah, timbul spekulasi bahawa laman Facebook juga bakal berdepan waktu suram seperti yang dialami MySpace dan Friendster.

Awal tahun ini, para eksekutif Facebook mengumumkan jumlah pengguna laman web itu UK mencecah 30 juta, iaitu separuh daripada populasi penduduk UK.

Di Amerika Syarikat (AS), jumlah pengguna Facebook juga jatuh merudum kepada 149.4 juta pengguna berbanding 155.2 juta sebelum ini. -


Sumber: >Agensi >muslimeen united >

~Membawa Kebenaran itu Memang Payah..

Membawa kebenaran itu memang payah
Namun...
Jika hati itu telah menjadi milik Allah
Maka tiada lagi kegundahan jiwa.

Bukan mudah...
Yang penting walau apa pun persepsi manusia
Selagi Al-Quran dan As-Sunnah menjadi benteng kehidupan,
Juga...
Solat lima waktu ditegakkan dengan penuh kehambaan

Pasti...
Pasti akan Allah s.w.t. tunjukkan jalan.
Ambillah insan...
Pengalaman hidup yang dilalui sebagai pengajaran

Namun...
Kesedaran yang Allah ilhamkan
Mampu menggoncangkan hati dan iman

Sungguh...
Bukan mata yang buta tapi hati di dada
Beruzlahlah kelak kan kau temui hikmah
Bersabarlah sesungguhnya itu adalah tarbiyah Allah

Bersihkanlah....
Segala persepsi yang membelenggu dirimu
Aku hanya berpesan
Untuk sama seiring sejalan menuju Tuhan

Yakinlah...
Sungguh Allah itu dekat
Mengapa tidak kau rasainya

Apakah manusia telah lupa?
Setelah ia merasakan kecukupan dalam kehidupan
Ia sombong pada Tuhan...
Ia lupa...
Siapa yang membukakan matanya selama ini?
Siapa yang memberikan rezekinya selama ini?
Siapa?
Kalau bukan Tuhan...
Tapi kenapa manusia lupa...

~Hukum meletakkan al-Quran di bawah bantal untuk mengelakkan gangguan syaitan dan mimpi buruk.

Allah telah berfirman di dalam surah al-Waqiah (77-79)

إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ فِي كِتَابٍ مَكْنُونٍ لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ
[77] Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan),
[78] Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara,
[79] Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci

Ulama’ telah berbicara tentang kemuliaan al-Quran dengan memerintahkan supaya bersuci ketika menyentuh dan membawa al-Quran.Di antara kaedah memuliakan al-Quran ialah tidak meletakkan di bawah bantal ketika tidur.Atau meletakkan barang dan kitab di atas al-Quran.Atau melakukan sesuatu tindakan yang boleh diiktiraf sebagai menghina al-Quran.
Bahkan dalam kitab al-Masohif (المصاحف) karya Ibnu Abi Daud menyatakan bahawa meletakkan al-Quran di atas tanah adalah tidak layak.
Rasul juga pernah mengeluarkan kenyataan bagi mereka yang meletakkan tulisan yang ada nama Allah di tanah dengan menyatakan:

لعن الله من فعل هذا،لا تضعوا ذكر الله في غير موضعه
Maksudnya:Allah melaknat siapa yang berbuat demikian.Jangan meletakkan nama Allah bukan pada tempatnya.

Ini jika meletakkan mashaf bukan dengan niat menghina.Adapun jika niat menghina maka hukumnya haram menurut Ijmak Ulama’.Bahkan berkata kebanyakan ulama’:

إنَّ مَنِ احْتَقَرَّ اَوِ اسْتَهْزَأ بِكِتابِ اللهِ فَهُوَ كَافِرٌ
Siapa yang mempermainkan dan memperolokkan Kitab Allah maka dia kafir

Dalam kitab ( الإتقان) Imam Suyuti menyebut:

يستحب تطييب المصحف وجعله على كرسى، ويحرم توسده، لأن فيه إذلالا له و إمتهانا، كذا مد الرجلين إليه
Menjadi keperluan menjaga baik akan mashaf dan meletakkan di tempat tinggi.Haram membantalkannya.Ini kerana perbuatan itu menghina dan mencemar kesuciannya.Demikian juga menjulur kaki padanya.

Dan menjadikan al-Quran sebagai bantal baringan dan bantal untuk tidur,kedua-dua perbuatan itu dilarang.
________________________________
*Kitab احسن الكلام في الفتاوى والاحكام karya الشيخ عطية سقر jilid 3/8


~Bila Kesunyian Datang...


   Mungkin kita pernah merasakan kesunyian melanda sanubari.

Apabila ini terjadi, kita pasti merasa diri kita ini amat hampa, ada yang seakan hilang entah ke mana atau pergi mengembara jauh ke sana.

Hati merasa begitu terseksa sehingga di malam hari pun kita selalu terjaga. Bila hal itu terjadi tatkala kita merasa tidak seorang pun yang dapat memahami kita, tidak ada tempat untuk berkongsi cerita, berkongsi duka dan berkongsi rasa.

Hidup akan merasa semakin terseksa hingga tidak lagi bermakna.

Bila itu yang kita rasakan, mungkin ada yang selama ini kita lupakan. Bahawa ketika kita sedar dari mimpi dan termanggu dalam kesunyian, di saat itu sebenarnya Allah ada bersama kita.

DIA selalu memantau dan menemani kita dengan kasih sayang yang begitu dalam.
DIA akan selalu menemani tidur kita yang sepi dan menjaga diri kita yang lemah ini.

Namun, hal itu hanya akan terjadi bila kita mahu meyakini bahawa Allah itu benar adanya dan tentunya nama-Nya sudah termateri di hati kita.

Dengan kata lain, kita mahu mengimani dan mencintai-Nya dengan sepenuh jiwa.

Pernahkah kita menyedari hal ini? Allah telah memberikan kita begitu banyak nikmat dan anugerah kepada kita maka nikmat Allah yang mana lagi yang hendak kita dustakan?

Allah telah membuat hati yang muram menjadi tenang, yang suram menjadi bercahaya dan yang kerdil menjadi raksasa.

Sepertinya kita tidak boleh larut dalam kesedihan, kerana boleh jadi Allah menganugerahkan rasa sepi dalam hati kita untuk menguji betapa kuat cinta kita.

Sehingga dengan sepi itu kita mampu untuk lebih khusyuk untuk mendekati-Nya.



Rasulullah SAW bersabda,
 “ Sesungguhnya orang mukmin itu adalah orang yang luar biasa, seluruh perkara dalam hidupnya adalah baik baginya. Ketika mendapat kemudahan ia bersyukur.Itu adalah baik baginya dan apabila ia ditimpa kesulitan maka dia bersabar dan itupun juga adalah baik baginya.”
Wallahua’lam

Wednesday, June 8, 2011

~Couple..?


Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. [24:30]


Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya.” (H.R. Bukhari & Muslim)

Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya.” (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi)

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya.” (H.R. At-Tabrani dan Baihaqi)

Rasulullah SAW bersabda: “Kedua mata dapat berzina, dan zina keduanya adalah melihat. Kedua telinga dapat berzina, dan zina keduanya adalah mendengar. Lidah zinanya dengan bicara. Tangan zinanya dengan menyentuh. Kaki zinanya dengan melangkah. Hati zinanya dengan berhasrat dan menginginkan. Dan kemaluan akan membenarkan atau mendustakannya.” (H.R. Muslim)

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita.” (H.R. Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, Tirmidzi)

Kesimpulan: Couple (berpasangan) dalam Islam adalah haram jika pasangan belum bernikah. Ini kerana mereka akan terjerumus melakukan maksiat (bersentuhan dan zina). Mempunyai rasa cinta adalah fitrah manusia yang diberi Allah dan ia tidaklah salah. Bermanja-manja dengan orang yang dicintai, keluar bersama tanpa mahram wanita tidak dibenarkan dalam Islam walaupun sudah bertunang. Adapun bercinta jarak jauh (tidak bertemu dan hanya sms dan chatting) bukanlah dinamakan couple, namun masih perlu menjaga batas-batas.wallahua'lam.

(Sumber)

~Kenali Aurat Menurut Firman ALLAH dan Hadis Nabi...


Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [33:59]

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. [24:31]

Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). [33:32]


Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). [7:26]


Rasulullah SAW bersabda: “Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (1) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (H.R. Muslim)

Asma’ binti Abu Bakar telah masuk ke tempat Rasulullah SAW berada sedangkan dia memakai pakaian nipis. Rasulullah SAW lalu berpaling daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” (H.R. Abu Dawud)

Ummu Salamah pernah bertanya Rasulullah SAW, “Apakah seorang wanita boleh menunaikan solat di dalam pakaian labuh dan tudungnya jika dia tidak mempunyai sarung?” Rasulullah SAW menjawab, “Asal pakaian labuh (jubah) itu sempurna dan menutupi zahir kedua kakinya.” (H.R. Abu Dawud)

Rasulullah SAW bersabda: “Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya).” (H.R. Al-‘Uqayli)

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita.” (H.R. Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.” (H.R. Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?” Rasulullah SAW menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka.” (H.R. Muslim)

Kesimpulan: Menutup aurat itu wajib. Aurat wanita adalah keseluruhan tubuhnya (dari hujung rambut sehingga hujung kaki) kecuali wajah dan pergelangan tangannya. Wanita ditegah bersuara menggoda dan manja kerana suara itu aurat. Memakai pakaian dan mekap secara berlebihan sehingga membuat lelaki tertarik adalah Tabarruj dan ia dilarang Islam. Meninggikan sanggul seperti bonggol unta juga tidak dibenarkan Islam. Wanita dilarang memakai pakaian ketat (membalut aurat) dan diwajibkan melonggarkan pakaian. Wanita wajib melabuhkan tudungnya menutupi dada. Wanita ditegah mengenakan apa-apa yang mendatangkan bunyi pada kaki (contoh gelang loceng atau kasut yang tapaknya tidak bergetah) kerana ia akan menarik perhatian kaum lelaki. Aurat lelaki adalah daripada pusat hingga lutut.wallahua'lam.

(Sumber)

Monday, June 6, 2011

.:Kata Renungan:.




Kemudian Kitab itu kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih di antara hamba-hamba kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan diantara mereka ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. yang demikian itu adalah karunia yang amat besar. (Fatir:31-32)
Dalam satu hadis meriwayatkan:
“ Barangsiapa yang menghafaz Al-Quran dan beramal dengan isi kandungannya, maka Allah akan memakaikan kepada kedua orang tuanya pada hari kiamat, suatu mahkota yang mana kilauannya lebih cerah berbanding cahaya matahari ”.


 

Kasih sayang bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedu sedan. Tetapi, kasih sayang menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak duri penghidupan. – Hamka.
"Sahabat sejati adalah mereka yang sanggup berada disisimu ketika kamu memerlukan sokongan walaupun saat itu mereka sepatutnya berada di tempat lain yang lebih menyeronokkan."

~Kasih sayang Allah..

Kita selalu beranggapan kasih sayang diantara manusia adalah sangat dalam. Menjadi lumrah kehidupan manusia untuk berkasih sayang dan bercinta. Tetapi ingatlah saudara seagamaku, walau sedalam mana kasih sayang kita kepada manusia dan makhluk yang lain. Ianya tidak dapat menandingi dengan kasih sayang Allah Kepada hambaNYa.

Hakikat sebenarnya, Allah sangat kasihkan  hambaNya, cuma hambaNya yang tidak sedar.

Sebagai contoh:
" Jika apa yang kita doakan dikabulkan oleh Allah dengan cepat,
Allah sayangkan kita..
Jika apa yang kita doakan lambat dikabulkan,
bermaksud Allah ingin menguji kesabaran kita..
Jika apa yang kita doakan tidak dikabulkan,
janganlah hampa.
Ini bukan kerana Allah bencikan kita
tetapi Allah ingin berikan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kita doakan.."



Allah tidak pernah mengecewakan kita kerana kasih sayang Allah mendahului dari kemurkaanNya. Janganlah sesekali kita buruk sangka terhadap Allah. Begitu hebat sekali kasih sayang Allah kepada hambaNya. Bagaimana pula kasih sayang hambaNya kepada Allah? Adakah kita layak untuk mempertikaikan kasih sayang Allah SWT kepada kita? Sama-sama lah kita renungkan dan fikir-fikirkan...

~Kamus Kebahagiaan..:)




{Aku Hanya Akan Hidup Hari Ini, Hari Ini adalah Kepunyaan Saya}

Inilah harinya aku masih berpeluang untuk mengatakan yang baik-baik sahaja, menghindari bercakap perkara yang dilarang, mengherdik, dan juga memperkatakan keburukan orang lain.


Hanya hari ini aku berpeluang untuk memerhatikan kebersihan tubuhku, kekemasan penampilanku, kehalusan tuturkataku dan perilakuku.



Aku akan berusaha sekuat tenaga untuk taat kepada Allah, mengerjakan sembahyang yang sesempurna mungkin, membekali diri dengan sembahyang sunat, berpegang teguh pada ajaran Al-Quran, mencatat segala yang mendatangkan manfaat buatku.


Aku hanya mempunyai hidup yang pasti hari ini, sebab itu aku akan menanamkan dalam hatiku semua nilai keutamaan dan mencabut darinya pohon-pohon kejahatan serta ranting-rantingnya yang berduri tidak kira sifat takbur, ujub, riya
Hanya hari ini aku akan menghirup udara kehidupan maka aku akan berbuat baik kepada orang lain dan menghulurkan tangan kepada sesiapa pun. Aku akan menziarahi mereka yang sakit, menghantar jenazah, menunjukkan jalan yang benar bagi yang tersesat, memberi makan kepada orang yang lapar, menolong orang yang sedang kesusahan, membantu orang yang dizalimi, meringankan penderitaan orang yang lemah, mengasihi mereka yang menderita, menghormati orang-orang alim, menyayangi kanak-kanak dan berbakti kepada ibubapa.


Aku hanya akan hidup hari ini maka aku akan mengucapkan:-

Wahai masa lalu yang sudah berlalu dan selesai, tenggelamlah kamu seperti tenggelamnya mataharimu. Aku tidak akan menangisi pemergianmu, dan kamu tidak akan melihatku termenung sebentar pun untuk mengingatimu. Kamu sudah meninggalkan kami samua, pergilah dan jangan kembali lagi

Wahai masa depan, engkau masih dalam keghaiban. Maka aku tidak akan bermain dangan khayalan dan memperjudikan nasib dangan hanya satu agakan. Aku juga tidak bakal memburu sesuatu yang belum tentu ada, sebab esok hari mungkin tidak ada sesuatu; esok hari adalah sesuatu yang yang belum diciptakan dan tidak ada satu pun darinya yang dapat disebutkan.


 

’..

~Hijab..

Anas bin Malik ra. berkata...

Pertama kali ayat tentang hijab diturunkan adalah ketika Rasulullah SAW menikahi Zainab binti Jahsy. Pada pagi hari Rasulullah SAW menikahi Zainab, Baginda mengundang orang-orang lalu mereka makan dan kemudian pergi. Sekelompok orang masih tinggal bersama Nabi. Mereka tetap di sana untuk waktu yang lama. Rasulullah SAW bangkit dan aku pergi bersamanya hingga kami sampai di pintu ruangan 'Aisyah. Ketika Baginda menyangka mereka telah pergi, Baginda kembali dan aku kembali bersamanya dan mereka ternyata sudah pergi. Maka Baginda memasang tabir antara aku dan Baginda lalu turunlah ayat tentang hijab.


"Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memasuki rumah Nabi kecuali kamu diizinkan makan dengan tidak menunggu-nunggu waktu masak (makanannya), tetapi jika kamu diundang, maka masuklah dan jika kamu selesai makan keluarlah kamu tanpa asyik memanjangkan percakapan. Sesungguhnya yang demikian itu akan mengganggu Nabi, lalu Nabi malu kepadamu (untuk menyuruhmu keluar) ..." (Surah al-Ahzab : 53)
Dan aku berumur 15 tahun pada waktu itu.

Menurut Ibnu Abbas, ayat tentang hijab isteri-isteri Rasulullah SAW diturunkan ketika Umar ra. sedang makan bersama Nabi SAW. lalu tangannya menyentuh tangan salah seorang isteri Nabi SAW, maka ayat tentang hijab diturunkan. Orang-orang bertanya kepada Zuhri,
"Siapakah yang biasa mengunjungi para isteri Nabi?"

Dia menjawab,
"Setiap orang yang mempunyai hubungan keturunan atau sesusuan yang menghalangi pernikahan."

Ditanyakan lagi,
"Bagaimana dengan orang-orang lain?"

Dia menjawab,
"Mereka harus menyelubungi diri dari mereka. Mereka harus berbicara dari balik tabir. Dan tabirnya hanya selapis."

Pernah juga Ummu Salamah dan Maimunah sedang bersama Nabi SAW, tiba-tiba lbnu Ummi Maktum masuk. Peristiwa itu terjadi setelah hijab diturunkan. Nabi SAW berkata kepada isteri-isterinya,
"Selubungilah diri kalian darinya."

lsteri Baginda SAW bertanya,
"Ya Rasulullah SAW, bukankah dia buta?"

Beliau SAW menjawab,
"Apakah kalian juga buta? Tidakkah kalian melihatnya?"



Saturday, June 4, 2011

~Gadis Remaja itu....

Seorang gadis itu...
Yang lembut fitrah tercipta, halus kulit, manis tuturnya, lentur hati ... telus wajahnya, setelus rasa membisik di jiwa, di matanya cahaya, dalamnya ada air, sehangat cinta, sejernih suka, sedalam duka, ceritera hidupnya ...


Seorang gadis itu ...
hatinya penuh manja, penuh cinta, sayang semuanya, cinta untuk diberi ... cinta untuk dirasa ...
namun manjanya bukan untuk semua, bukan lemah, atau kelemahan dunia ... ia bisa kuat, bisa jadi tabah, bisa ampuh menyokong, pahlawan-pahlawan dunia ... begitu unik tercipta, lembutnya bukan lemah, tabahnya tak perlu pada jasad yang gagah ...



Seorang gadis itu ...

bisa seteguh Khadijah, yang suci hatinya, tabah & tenang sikapnya, teman lah-Rasul, pengubat duka & laranya ... bijaksana ia, menyimpan ílmu, si teman bicara, dialah Áishah, penyeri taman Rasulullah, dialah Hafsah, penyimpan mashaf pertama kalamullah ...

Seorang gadis itu ...
teman yang setia, buat Adam dialah Hawa, tetap di sini ... dari indahnya jannah, hatta ke medan dunia, hingga kembali mengecap ni'matNya ...


 
Seorang gadis itu ...
bisa setabah Maryam, meski dicaci meski dikeji, itu hanya cerca manusia, namun sucinya ALLah memuji ... seperti Fatimah kudusnya, meniti hidup seadanya, puteri Rasulullah ... kesayangan ayahanda, suaminya si panglima agama, di belakangnya dialah pelita, cahya penerang segenap rumahnya, ummi tersayang cucunda Baginda ... bisa dia segagah Nailah, dengan dua tangan tegar melindung khalifah, meski akhirnya bermandi darah, meski akhirnya khalifah rebah, syaheed menyahut panggilan Allah.
Seorang gadis itu ...
perlu ada yang membela, agar ia terdidik jiwa, agar ia terpelihara ... dengan kenal Rabbnya, dengan cinta Rasulnya ... dengan yakin Deennya, dengan teguh áqidahnya, dengan utuh cinta yang terutama, Allah jua RasulNya, dalam ketaatan penuh setia . pemelihara maruah dirinya, agama, keluarga & ummahnya ...





Seorang gadis itu ...
tinggallah di dunia, sebagai ábidah, dahípayah & mujahidah, pejuang ummah ... anak ummi & ayah, muslimah yang solehah ... kelak jadi ibu, membentuk anak-anak ummah, rumahnya taman ilmu, taman budi & ma'rifatullah ...

Seorang gadis itu ...
moga akan pulang, dalam cinta & dalam sayang, redha dalam keredhaan, Tuhan yang menentukan ... seorang gadis itu dalam kebahagiaan! Moga lah-Rahman melindungi, merahmati dan merestui, perjalanan seorang gadis itu ... menuju cintaNYA yang ABADI
 
Seorang gadis itu ...
melenturnya perlu kasih sayang, membentuknya perlu kebijaksanaan, kesabaran dan kemaafan, keyakinan & penghargaan, tanpa jemu & tanpa bosan, memimpin tangan, menunjuk jalan ...
 
Seorang gadis itu ...
yang hidup di alaf ini, gadis akhir zaman, era hidup perlu berdikari ... dirinya terancam dek fitnah, sucinya perlu tabah, cintanya tak boleh berubah, tak bisa terpadam dek helah, dek keliru fikir jiwanya, kerna dihambur ucapkata nista, hanya kerana dunia memperdaya ... kerna seorang gadis itu, yang hidup di zaman ini ... perlu teguh kakinya, mantap iman mengunci jiwanya, dari lemah & kalah, dalam pertarungan yang lama ... dari rebah & salah, dalam perjalanan mengenali Tuhannya, dalam perjuangan menggapai cinta, ni'mat hakiki seorang hamba, dari Tuhan yang menciptakan, dari Tuhan yang mengurniakan, seorang gadis itu ... anugerah istimewa kepada dunia!