Sunday, August 28, 2011

~Mencari Kerdipan yang Hilang...

Kadangkala,
Kita terpaku mencari jawapan kehidupan,
Berlari dan terus berlari,
Mengharapkan penghujung yang sejati,
Tercungap-cungap mencari nafas ketenangan hakiki,
Lantas kita berhenti sebentar,
Refleksi diri yang kian gentar,
Bertanya semula kepada kalbu yg keletihan,
Apa yang engkau lari-larikan?
Apabila hakikatnya,
Kebahagiaanmu tersuluh di depan mata,
Kemuliaanmu terpancar hatta di celah-celah kota,
Walau dunia penuh pancaroba,
Dirimu sentiasa menanti masa,
Mencari, dan terus mencari.

...Kerdipan Yang Hilang...
Kilauan kerdipan mereka laksana bulan yang hadir pada malam hari, menerangi seluruh pelosok dunia dengan kecantikan budi pekerti dan akhlak yang terpuji.
Ketika Allah menciptakan mereka, kesemuanya harus menjadi seorang yang istimewa. Dikurniakan dengan bahu yang cukup kuat untuk menampung fatamorgana dunia. Namun, harus cukup lembut untuk memberikan ketenangan dan kebahagiaan.
Meskipun dilitupi dengan 'selendang islami' dan hijab kemuliaan, mereka dikurniakan Allah dengan kekuatan dalaman yang abadi, cukup kuat untuk melahirkan anak dan menahan mehnah tribulasi yang seringkali datang daripada anak itu..
Allah menguji mereka dengan kekerasan dan kesengsaraan agar dirinya tetap tabah ketika orang lain sudah menyerah. Mengasuh keluarganya meskipun ditemani dengan penat lelah yang tidak pernah henti walau sesaat.
Allah memberikan kefahaman dan sifat penyayang yang tinggi kepada mereka, demi menahan kerenah anak-anak yang sering menyakitkan hati mereka, tetapi tetap jua anak itu disayangi tanpa kurang walaupun sedikit.
Allah memberinya kekuatan untuk 'mendukung' suaminya yang dilanda kegagalan dan kesusahan. Melengkapi 'tulang rusuk' kebahagiaan yang selama ini dicari.
Dikurniakan air mata untuk dititiskan. Namun, ramai yang tidak tahu, titisan-titisan itulah yang telah banyak melahirkan 'lautan ibrah' yang luas terbentang buat tatapan sanubari.
Itulah mereka. Insan-insan yang bergelar WANITA.
Kalianlah pencorak masa hadapan dunia. Tidak ada insan selain Nabi Adam yang melihat dunia ini tanpa bermula daripada rahim seorang insan yang bergelar wanita. Keluarkanlah nama-nama yang tersemat di lubuk pemikiran kita, hebat ataupun tidak insan tersebut. Mereka semua melalui alam rahim yang sama seperti kita semua, diasuh dan dijaga dengan penuh kasih sayang. Daripada saat kita merangkak, berjalan sehinggalah mampu berlari, insan-insan ini tidak pernah meninggalkan kita.
Maka, adakah sesiapa yang berani merendah-rendahkan kaum ini ?
Ya. Kita yang bergelar ar-rijal (lelaki).
Mengakulah betapa kesengsaraan akan menimpa dirimu tanpa belaian kasih dan sayang daripada kaum yang bergelar wanita ini.
Mengakulah betapa hati-hatimu sentiasa teruji hatta hanya dengan mendengar bingkisan suara mereka yang penuh kelunakan.
Sedangkan Adam sunyi tanpa Hawa. Apakah agaknya yang tiada di Syurga ?
Masihkah kita tidak ingin mengaku kehebatan mereka yang bisa melentur peribadimu secara total?
Tetapi,
Mengapa golongan ini juga yang engkau permain-mainkan maruahnya?
Kenapa mereka juga yang engkau siul-siulkan di tengah jalan itu?
Kenapa srikandi-srikandi ini juga yang engkau rosakkan akhlak dan peribadinya?
Diri kita fitrahnya dilahirkan sebagai seorang pemimpin. Untuk membimbing kaum hawa ini satu obligasi, bukan ilusi.
Dirimu adalah Qowwamun (Pelindung) kepada wanita, bukannya perosak.
Mengajak mereka berdua-duaan di tempat gelap itu bukan 'melindungi' namanya.
Bicara manis dan romantis di telefon dan SMS itu pula hanyalah 'insuran' palsumu. Sedangkan sijil nikahmu dengannya pun belum ada, betapa beraninya dirimu mengatakan akan mendaki Gunung Everest dan merentas lautan api demi meraih cintanya.
Cinta? Itu sesuatu yang agak panjang untuk kita bincangkan.
Apa yang penting, cinta kepada insan itu terletak pada pembentukan Baitul Muslim mu. Bukan pada hubungan-hubungan palsu yang kita 'jaga' dan sanjungi itu.
Cinta itu juga Islam. Maka, keadaannya perlulah Islam, pengakhirannya perlulah Islam, bukannya disaluti dengan nafsu yang bergejolak.
Maka, bertanyalah semula kepada diri kita. Adakah kita sedang 'memimpin' cinta kita ke arah syurga? Ataupun ke arah neraka?
Duhai dikau yang bergelar srikandi.
Dirimu pada dasarnya dicipta dengan penuh kemuliaan. Dikurniakan dengan sesuatu yang mustahil dimiliki oleh ayah, adik, dan abangmu.
Ketahuilah betapa suara lunakmu bisa menggegarkan dunia.
Sedarilah betapa pandangan dan peribadimu melahirkan ibrah yang menggunung.
Dirimu begitu berharga sebagai penenang hati-hati yang sedang gundah gulana.
Dirimu lebih kuat daripada yang apa engkau sangkakan.
Sedangkan sebuah kerajaan pun boleh jatuh disebabkan seorang wanita. Apatah lagi untuk menghancur-luluhkan kehidupan seorang lelaki yang berpenyakit hatinya.
Engkau ibarat mawar yang berduri. Sentiasa berdiri menahan bayu cabaran yang mendatang. Hatta kumbang datang untuk membinasa, duri dahanmu tetap bersedia, tetap tidak pernah hilang harga diri, meski dipujuk dan dirayu oleh nafsu sendiri. Melainkan syariat yang memberi.
'Facebook' dan blog itu bukan tempat manifestasi kecantikan paras rupamu.
Nilai maruahmu begitu tinggi untuk ditayangkan kepada yang bukan hak.
Jangan! Jangan digadaikan untuk sesuatu yang tidak setaraf dengan nilai harga dirimu ya ukhti.
Kecantikanmu bukan pada paras rupa, tetapi lebih kepada akhlak dan peribadimu yang suci itu.
Seorang wanita solehah dalam kalangan kalian itu hakikatnya lebih baik daripada 70 orang lelaki soleh. Tidak hairanlah sekiranya dirimu mendapat pengiktirafan 'sebaik-baik perhiasan dunia, adalah wanita yang solehah'.
Wanita solehah itu,
Teguh menjunjung syariat Allah. Dia tidak akan pernah membiarkan dirinya menjadi busur panahan syaitan. Diperalatkan untuk mengumpan kaum Adam yang kadangkala terlalu gopoh dengan hawa nafsu masing-masing.
Wanita solehah itu,
Sentiasa tenang jiwa sanubarinya. Mengingati Allah di saat suka dan duka.
Ya. Hatta diuji dengan ujian yang boleh sahaja membuatkan insan lain tersungkur jatuh. Tetapi bukan engkau, kerana kelebihanmu terletak pada ketenangan dan kesucian hatimu di sisi Allah SWT.
Betapa tingginya darjatmu di sisi Islam.
Betapa mulianya kedudukanmu di sisi para suami yang mencintaimu kelak.
Maka, mengapa perlu berfikir dua kali apabila Allah arahkan untuk menutup aurat ya ukhti?
Mengapa perlu ditayangkan perhiasan-perhiasan yang tidak berhak dipandang oleh lelaki-lelaki ajnabi itu ya ukhti?
Bukannya kalian tidak tahu..hati ar-rijal (lelaki) itu mudah sahaja bergetar melihat diri kalian semua. Mencari kesempatan yang kini ada daripada kalian yang memberinya dengan mudah. Kemudian terlahirlah pelbagai kemaksiatan yang bertunjangkan kepada satu masalah keimanan kita kepada Allah SWT.
Pandangan Allah ataupun pandangan manusia. yang mana satukah agaknya prioriti utama yang kita jadikan sebagai pemandu tindak laku kita di dunia ini?
Wahai srikandi-srikandi syurga.
Bukanlah artis-artis dunia yang menjadi idola kalian.
Bukan juga yang terlari daripada landasan matlamat yang hakiki.
Kalian menjadi sayap kiri kepada kebangkitan Islam di dunia ini, bersama-sama berjuang dengan para Muslimin.
Sejarah mencatatkan banyak jejak-jejak srikandi yang begitu tabah lagi halus peribadinya. Mengapa bukan mereka yang menjadi contoh ikutan utama?
Sesetengah orang pernah berkata, sejarah itu ibarat pentas bermain wayang. Dibaca dan kemudian diulang, dan diulang, dan diulang. Berapa kali pengulangankah agaknya yang diperlukan oleh diri kita untuk menyedari kehebatan para mujahidah Islam dahulu kala?
Kesetiaan pengorbanan Siti Khadijah Binti Khuwailid hampir lupus dek zaman 'futuristik' muda-mudi.
Kebijaksanaan Aisyah Binti Abu Bakar seolah-olah sesuatu yang benar-benar luar biasa bagi kita semua.
Ketabahan Fatimah, Mashitah dan Siti Hajar pula nampaknya hanya dipelajari dengan titisan air mata. Kesayuan dan kesedihan yang selalu tidak mempunyai penyusulan.
Ya ukhti.
Sumayyah mengukir sejarah kerana kemantapan akidahnya kepada Allah SWT, meskipun pada saat itu Islam belum lagi melakar dua pertiga dunia. Tetapi kisah dirinya benar-benar membuatkan kita sebak.
Kita pula? Apa sejarah yang ingin kita lukiskan dalam kehidupan kita ini?
Kita tahu dan kita percaya. Tidak mustahil untuk kita membentuk semula peribadi insan-insan yang luar biasa ini. Cuma persoalannya, siapa?
Tidak kira yang lelaki mahupun wanita. Kita wajar mencontohi kehebatan mujahidah-mujahidah islam ini dengan mengambil ibrah daripada lembaran perjuangan mereka yang tidak pernah gentar menghadapi musuh, kerana diri merekalah contoh wanita solehah yang terbaik buat kita semua.
Merekalah...
Kerdipan yang hilang itu.
Ya Rijal dan Nissa.
Janganlah kita biarkan kerdipan itu pergi begitu sahaja. Carilah kilauannya yang terang itu. Kesemuanya sudah tersuluh, cuma menunggu masa untuk kita memakai 'kaca mata' iman dan Islam kita.
Marilah kita sama-sama menukar paradigma kita. Meletakkan sesuatu itu di landasan yang hakiki, lantas mampu membuat keputusan dengan minda yang mustanir (cemerlang). Insya Allah, suatu masa nanti, pasti kerdipan yang hilang itu akan kembali menerangi kegelapan dunia.
" Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan". (Ar-Rum 30:21)

(peringatan diri yang hina ini dan juga sahabat2 yang kukasihi semua)
wallahua'lam..

Thursday, July 28, 2011

~Jangan pernah lelah wahai Mujahid ku!

 
Izinkan Aku Bercerita Tentangmu…!!!

Jangan pernah lelah wahai Mujahidku..
Kerana ku kan senantiasa di belakangmu untuk mendukungmu..
Jangan kau tengok ke belakang, lihatlah kedepan..
Di depan ada musuhmu, musuh Tuhan kita..
Jadikan mereka terhina dengan kekuatanmu..
 
 
Janganlah ragu untuk melepaskan peluru dari selongsong senapangmu..
Bidiklah tepat dijantungnya..
Jadikan ia mati sia-sia, tak memberi kemenangan bagi sekutunya..
Maju terus! jangan pernah menyerah!
Lepaskanlah duniamu..
Kerana sungguh! dunia ini hina..
Sesungguhnya di sisi Tuhan kitalah sebenar-benarnya kebahagiaan..
Ingatlah isteri-isteri akhiratmu menunggumu dengan penuh cinta..
Mereka senantiasa mendendangkan syair kerinduan..
Hanya untukmu, hanya untukmu....
wahai Mujahid ku....
 

Friday, July 22, 2011

ya ALLAH,tabahkan qolbi !


    Kesedihan ialah penyakit jiwa yang boleh mengundang bahaya. Namun rasa kesedihan, kebimbangan, susah hati banyak melanda manusia pada waktu ini. Sedihnya, kebanyakan manusia menemui jalan buntu untuk mengubati penyakit ini sehingga ada yang berputus asa.

Bagaimana mengatasi kesedihan?

Hmm..bukankah orang yang beriman itu ada Al-Quran untuk diambil panduan, ada doa yang boleh dipohon, ada solat yang dapat menghampirkan diri kepada ALLAH yang sekaligus dapat menghilangkan kesedihan itu...? selain itu amalan bersedekah, perbuatan baik, dan amalan lain boleh memberi manfaat daripada terus bersedih..Nah! sebab itulah kita jangan bersedih..ia tidak mendatangkan apa manfaat pada kita selain membuat kita terus rasa ‘down’...dari kita bersedih tu, baik kita lakukan perkara yang boleh beri manfaat atau kebaikan pada orang lain..

Adakah jalan bahagia?

Jawapannya, ada! Kita ada banyak pilihan untuk mendapatkan kebahagiaan yang diidam..antaranya:

 Beriman
 Sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Yahya Shuhaib bin Sinan r.aa berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“ Memang sangat menakjubkan keadaan orang Mukmin kerana segala urusannya mendatangkan kebaikan baginya dan ini tidak akan berlaku kecuali bagi orang yang beriman. Apabila memperolehi kesenangan dia bersyukur, maka yang demikian itu kebaikan baginya. Apabila ia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka yang demikian itu juga kebaikan baginya.”

 Lupakan masa lalu
 Semua yang telah berlaku disebabkan perhatian yang terpaku kepada peristiwa silam, merupakan kebodohan dan kegilaan.. Bayangkan, kita hanya berdiri didepan pintu yang sama sedang pintu lain sebenarnya telah terbuka.. Bukankah ia suatu perkara yang sia-sia? Kenapa perlu kita membuang masa kita menunggu pintu yang telah terkunci itu dibuka sedang banyak pintu lain telah sedia terbuka? Renungkan..

Jangan sibukkan diri dengan masa depan
 Masa depan masih berada dialam ghaib.. Jangan terlalu risau memikirkannya, ia akan datang jua dengan sendirinya.. ALLAH  berfirman dalam surah Yunus ayat 62 yang bermaksud:

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali ALLAH tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka tidak pula berdukacita.”

“Tiada Kebimbangan” adalah tiada kebimbangan tentang perkara-perkara yang belum berlaku. Manakala “Tidak Berdukacita”  pula adalah tidak  susah hati pada perkara-perkara yang sudah berlalu..

Berzikir
 Berzikirlah kepada ALLAH dengan sebanyak-banyaknya, nescaya anda akan memperoleh ketenangan dan kedamaian  sebagaimana dalam firman ALLAH dalam surah al-Ra’d ayat 28:

“ Orang yang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah, dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Sedar
 Perlu sedar bahawa tiap sesuatu yang berlaku adalah ketentuan qada’ dan qadar dari ALLAH.. Dan setiap yang terjadi itu berhikmah, andai saja kita memikirkannya..

Jangan mengharap
 Apabila anda memberikan sesuatu, jangan anda terlalu mengharapkan ucapan terima kasih dari orang lain.. Bimbang andai anda tidak mendapat ucapan terima kasih, anda akan berasa sedih sekaligus membuatkan anda rasa putus asa atau hilang semangat untuk terus melakukan sesuatu kebaikan kerana anda merasakan seolah-olah ia tidak dihargai..

Berfikir
 Andai saja kita tahu bahawa setiap yang berlaku itu hakikatnya adalah baik untuk kita.. Bukankah DIA tidak akan sesekali menzalimi hamba-NYA? Hanya DIA Mengetahui apa yang baik dan apa yang tidak untuk hamba-NYA..

Ingat
 Terkadang kita rasa kesusahan atau kesedihan yang melanda kita itu akan berpanjangan dan ia tidak mendatangkan kebaikan melainkan hanya mendatangkan perkara-perkara buruk yang lain.. Kita akan rasa kesulitan ini tiada penghujungnya, tiada penamatnya, dan tiada penyelesaiannya.. Tapi bukankah telah dijanjikan DIA bahawa disebalik setiap kesusahan itu ada kemudahan? Andai saja kita ingat..

Jangan Putus asa
 Kita begitu mudah berputus asa bila ditimpa sesuatu masalah.. Kita mudah mengeluh dan tidak cuba sehabis baik untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan.. Andai kita mencari jalan penyelesaian pun, jika ia gagal, kita akan tetap berputus asa.. Kebanyakan kita manusia, sering berputus asa waima ia adalah perkara remeh-temeh.. Inilah apa yang dikatakan sebagai satu pembaziran masa.. Bukankah lebih baik masa yang di ‘luangkan’ untuk bersedih itu, kita gunakan untuk mengulangkaji pelajaran, berbakti pada ibubapa, membantu sahabat-sahabat yang memerlukan, atau mendekatkan diri dengan ALLAH? Fikir dan renungkan..

Ada Jalan Keluar!
Jalan keluar dari setiap kesusahan dan kesedihan itu ada.. Tapi ia bersyarat! Jika kita mahukannya, kita hendaklah bertqwa kepada ALLAH! Sebagaimana firman ALLAH dalam surah al- Talaq ayat 2 dan 3 yang bermaksud:

“ Dan sesiapa yang bertaqwa kepada ALLAH nescaya ALLAH akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya.”

Jom doa agar dihilangkan segala kesedihan kita!

“Ya ALLAH, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlidung kepada-Mu daripada pengecut dan bakhil. Aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan seseorang.”

Kisah Abu Umamah yang diceritakan dalam hadis yang  diriwayatkan oleh Abu Daud bisa dijadikan sebagai satu iktibar. Dimana Abu Umamah pada suatu hari kelihatan begitu sedih. Lalu ditegur oleh Rasulullah SAW apa punca kesedihannya. Abu Umamah kemudian menjawab, “Aku sedih kerana aku banyak hutang wahai Rasulullah! ” Kemudian Rasulullah bertanya, “Mahukan engkau aku ajarkan kata-kata yang jika engkau mengucapkannya nescaya ALLAH menghilangkan segala kesedihananmu dan menyelesaikan hutangmu?”. Abu Umamah menjawab, “Sudah tentu Ya Rasulullah.” Lalu Baginda SAW terus mengajarkan doa diatas dan berpesan agar ia dibacakan pada waktu pagi dan petang.

Abu Umamah berkata, “ Lalu doa itu aku amalkan dan ALLAH pun menghilangkan kesedihanku juga melangsaikan hutangku.”

Wallahua’lam...

Friday, July 15, 2011

~Buat mawar-mawar mujahidah yang sedang merindui jalan menuju Allah…

Ketahuilah wahai mawar mujahidah,\
Rasulullah s.a.w. dan generasi itu telah tiada! Lama sudah mereka berlalu meninggalkan kita. Kehadiran insan ajaib itulah telah memuliakan kita pada saat ini.
Muhammad, kekasih Ilahi. Baginda berjalan selangkah demi selangkah, meniti hari. Bermula dari seorang diri, menyampaikan dakwah secara sembunyi-sembunyi. Bukannya Baginda tidak berani dan takut mati, namun itulah tertib wahyu ketika itu, strategi Rabbi.
Ucapan Baginda tidak lahir dari nafsu melainkan wahyu yang suci. Ucapan yang hikmah dari kalbu yang jernih disambut oleh hati yang bersih dan jiwa yang fitri. Dimulainya mengajak manusia kepada Islam dengan menjernihkan fikrah, pendekatan akal, pemahaman dan menyentuh hati sanubari. Juga dengan jalan hujah dan keterangan, dengan hikmah dan pengajaran penuh seni.
Bilamana ada perdebatan dirungkaikan dengan baik dan menambat hati. Bilamana mendapat tekanan, rintangan serta siksaan, berlaku sabar dan  melontarkan doa kasih nan sejati. Firman Allah:
أدع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن
Tahukah dikau mawarku?
Dengan rahmat dan kurnia Ilahi, seorang demi seorang ikut menyertai, dari golongan bangsawan mulia hingga hamba sahaya tidak mahu terkecuali. Lalu, terbentuklah masyarakat dan jemaah Islam pertama, jamaah Rasulullah dan para sahabi. Jemaah baru itu masih sangat kecil dan merupakan ghuroba’ (orang-orang yang asing) di Mekah, kota kelahiran Baginda sendiri.
 
Golongan ghuroba’ inilah yang kelihatan berjalan perlahan-lahan dan lambat, akhirnya menjadi kelompok yang mulia, gah, izzah dan menjadi generasi terbaik ummat ini. Mereka tak punya apa-apa, melainkan jiwa yang sarat keyakinan bahawa janji Allah itu pasti! Biarpun sehebat mana rintangan, jalan dakwah dan kebaikan terus berkembang dan panjinya berkibar tinggi.
Mengertilah duhai mawar mujahidah,
Jalan dakwah dan kebaikan inilah jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. sehingga Islamlah seluruh jazirah Arab, demikian pula Parsi dan Romawi, mencabut jahiliyyah dan kehinaan dari akar umbi.
Sabda Rasulullah s.a.w:
ألا إن الإسلام دائرة فدورا مع الإسلام حيت دار.الا إن السلطان والقرأن سيفترقان فلا تفارقوا الكتاب
‘Ingatlah bahawa Islam itu berputar, maka berputarlah kamu bersama Islam ke mana saja ia berputar. Ketahuilah bahawasanya penguasa dan al-Quran akan berpisah, maka janganlah kamu berpisah dari al-Quran.’
Duhai si mawar mujahidah calon bidadari Jannah…
\Dalam langkah hidup ini, hanya ada dua jalan yang salah satunya perlu ditempuhi. Kita yang memilih jalan kita sendiri. Kalau kita tidak memilih jalan menuju Allah, pasti kita akan melangkah di jalan yang menuju kecelakaan diri sendiri; iaitulah jalan syaitan, nafsu, syahwat dan duniawi. Jalan keimanan itulah jalan ilahi dan jalan kesesatan itulah jalan iblisi. Orang yang berjalan di atas jalan Ilahi sentiasa berusaha mensucikan jiwa dan hati sementara orang yang berjalan di jalan iblisi, tiada sensitiviti dalam mengotori dan menodai hati.
  
Masing-masing berusaha dan masing-masing bergerak, meniti waktu dan hari, mendekati mati. Akhirnya, masing-masing kerdil menghadap Ilahi. Sudah tentu di sana , ada perbezaan antara keduanya di alam abadi. Tanyalah diri, mahukah kita mencampakkan diri ke lembah kehinaan pada saat bertemu Rabbi? Atau meletakkan diri ke darjat yang tinggi? Sudah tentu jawapan kita mengimpikan tempat di sisi Ilahi.
 
Namun, adakah sama orang yang sekadar berangan-angan tetapi tidak mempunyai  persiapan yang serius untuk mengadap-Nya? Berapa ramai orang yang sanggup menjual harta dan dirinya demi membeli redha Allah? Sungguh, manusia lupa saat perjumpaan itu!
Dan kini hai mawar,
Zaman berganti zaman, Islam asing (gharib) kali kedua, hati-hati yang jernih fikrahnya  menjadi ghuroba’. Golongan ini sedikit sekali kerana golongan ini sering mendapat tapisan demi tapisan dari Ilahi sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang benar-benar ikhlas dengan-Nya. Oh, adakah kau masih teguh dengan prinsip muslimahmu aduhai si mawar berduri?
Kuingatkan diriku jua kerana aku juga dari kaummu wahai mawar,
Adakah amalan dan akhlak kita melayakkan diri kita termasuk dalam golongan ghuroba’ ini? Mungkinkah kelalaian kita yang berterusan ini akan menyebabkan kita turut tertapis dari jalan ini? Nauzubillah! 
Ya Allah, bantulah kami untuk tetap layak berada dalam kebenaran, di atas jalan-Mu. Jangan sesekali Kau menapis kami dari rahmat dan jalan-Mu kerana kelalaian kami sendiri untuk mengubat hati dan mengubah sahsiah diri. Amin…

Thursday, July 14, 2011

~wasiat oleh Syeikh Mutawalli Sya’rawi rahimahullah yang ditujukan kepada presiden Mesir


"Dan sesungguhnya aku Tuan Presiden,

Aku berdiri di sudut ini untuk menerima pahala dari Allah.
Aku tidak menghabiskan sisa-sisa hidup aku dengan menjadi munafiq.
Aku tidak akan mempamerkan dari diri aku ini dengan perkara-perkara yang menipu.
...

Tetapi aku ingin memberitahu satu perkara kepada umat semuanya.
Samada daripada pihak kerajaan atau parti pembangkang ataupun penyokong dan bangsa.
Aku meminta maaf jika aku ucapkan sesuatu yang kamu semua tidak suka.

Aku ingin semuanya tahu bahawa kekuasaan itu di tangan Allah.
Allah memberi kekuasaan kepada sesiapa yang dia suka.
Maka janganlah ada komplot untuk mendapatkan kekuasaan itu.
Dan janganlah ada tipu helah (penipuan) untuk sampai kepadanya (kekuasaan).

Allah S.W.T telah menceritakan dialog antara Namrud dan Nabi Ibrahim. Apa yang Allah S.W.T kata?
“Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya (sedangkan dia dalam kekafiran), kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan(Namrud).
(surah al-baqarah :258)

Maka kekuasaan itu Allah beri kepada sesiapa yang dia mahu.
Maka jangan kamu melakukan tipu helah terhadap Allah.Dan jangan kamu membuat komplot (penipuan) terhadap Allah. Kerana seseorang tidak akan mendapat kekuasaan di dalam kerajaan Allah kecuali dengan kehendak Allah.

Kalau dia seorang yang adil, maka manusia akan mendapat manfaat dengan keadilannya. Dan sekiranya dia seorang yang zalim, maka dia menjadi hodoh dengan kezalimannya dan Allah akan menjadikannya buruk di dada-dada manusia.

Maka disebabkan Allah menjadikan dia buruk di dada manusia, rakyat akan membenci setiap orang yang zalim walaupun dia tidak terlintas membenci pemerintah itu.

Aku berkata kepada kamu sekalian,
Alhamdulillah, telah jelas kebenaran pada kata-kata Tuhan berdasarkan dengan peristiwa-peristiwa yang telah terjadi.

Bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah :
“Wayamkuruuna wayamkurullah.”
(dan mereka merancang(perkara yang jahat) dan Allah juga merancang.

Dan bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah :
“Innahum yakiidunakaidan wanakiiuunakaida.”
(Sesungguhnya mereka membuat tipu daya dan Allah membuat tipu daya juga)

Siapa yang terlintas di dalam kepalanya untuk menjadi pemerintah, aku nasihatkan supaya dia jangan meminta-minta.
Akan tetapi menjadi kewajipannya menjadi pemerintah ketika mana dia dilantik.

Sabda Rasulullah S.A.W :
“ Siapa yang dilantik untuk sesuatu perkara, maka dia akan ditolong oleh Allah. Dan sesiapa yang meminta-minta sesuatu perkara, maka perkara itu akan menjadi beban kepadanya.

Wahai Tuan Presiden,
Aku ingin katakan satu perkara kepada engkau, mungkin ini adalah pertemuan terakhir kita!

اذا كنت قدرنا فليوفقك الله .. واذا كنا قدرك فليعنك الله على أن تتحمل..

“Jika nasib kami bergantung kepada engkau, moga-moga Allah memberi taufiq(menunjukkan kepada kamu jalan yang benar).
Dan jika nasib kamu bergantung kepada kami, moga-moga Allah menolong kamu untuk menanggung beban(untuk menghadapi kami) ".

Sunday, July 3, 2011

~Resepi 1: Kuah Kacang Daging.

Bahan-bahan ( )
·        - 300 g daging
·         -200 g kacang tanah (digoreng tanpa minyak)
·         -5 sudu gula merah/ gula melaka
·        - 2/3 cawan gula putih
·         -garam
·         -1 cawan air asam jawa
·         -½ cawan santan pekat
·         Bahan-bahan tumis :-
·         -2 batang serai
·         -5 cm kulit kayu manis
·         -2 biji bunga lawang
·         -2 biji buah pelaga
·         -¼ cawan minyak masak
·         Bahan-bahan kisar :- (goreng tanpa minyak dahulu, kemudian baru dikisar):
·         -20 tangkai cili kering
·         -3 ulas bawang putih
·         -15 ulas bawang merah
·         -6 biji buah keras
·         -1 cm belacan
·         -1 sudu teh jintan manis
·         -1 sudu teh jintan putih
·         -1 sudu teh ketumbar
Cara-cara
1.     Kacang tanah yang telah digoreng, di buang kulitnya dan dikisar.(Setengah halus dan setengah kasar).
2.     Daging direbus sehingga lembut. Keluarkan daging dan potong dadu. Stok daging disimpan untuk dimasukkan ke dalam kuah nanti.
3.     Panaskan minyak,tumis serai hingga wangi. Masukan kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang.
4.     Masukkan semua bahan kisar tadi.Biar garing sehingga pecah minyak.
5.     Masukkan air asam jawa dan stok daging. Masukkan daging yang telah dipotong tadi.
6.     Tambah gula merah, gula putih dan garam.Biar mendidih seketika
7.     Masukkan kacang yang dikisar tadi dan juga santan pekat.Kacau dan biar mendidih dengan api perlahan sehingga kuah nampak kemerah-merahan dan lapisan minyak naik ke atas.
8.     siap utk di hidang
pesanan,jika tk suka mkn dgn nasi impit boleh di makn dgn cucur udang,selamat mencuba !..(^^,)