Tuesday, January 3, 2012

~Nak Berniqab? terpulanglah...

Bismillahirrahmaanirrahim...

 Sedikit perkongsian,


            Memakai niqab atau purdah adalah suatu pakaian  yang baik. Ianya istimewa.

Tidak memakai niqab atau purdah juga suatu pakaian yang baik. Ia juga istimewa.

Selagi kedua-duanya menutup  aurat  dan dipakai dengan rasa taqwa,  pilihan untuk memakai atau tidak memakainya adalah suatu pilihan yang baik. Kedua-dua pilihan ini patut dimuliakan sebagai muslimah.

            Mana yang patut dipilih? Pakai niqab atau tidak?

            Jawapan bagi soalan ini bergantung kepada cabaran fitnah individu, tuntutan budaya, tempat, tuntutan hidup, tuntutan zaman, kemajuan segala bidang kehidupan, tingkat pendidikan wanita yang tinggi dan  merata pada hampir semua wanita, perubahan umum dari diam kepada bergerak, dari duduk rumah kepada berkerja dalam pelbagai bidang, maka hukum boleh berubah sesuai dengan perubahan penyebabnya.

Kadang-kadang memakai niqab menjadi lebih utama dipilih, Kadang-kadang tidak memakai niqab pula menjadi lebih utama dipilih.

Niqab menjadi utama dipilih oleh wanita cantik yang dekat dengan suasana fitnah, niqab itu tidak menyulitkannya dan tidak mengundang cacian serta perlekehan orang terhadapnya. (Khususnya dalam sebuah masyarakat yang memang membudayakan niqab). Tidak berniqab pula menjadi utama dipilih oleh wanita yang menekuni fiqh dakwah pada zaman ini.

Siapa yang berani mendabik dada bahawa dia adalah lebih baik daripada orang lain? Sedangkan kedua-dua pilihan ini mempunyai hujah dan fiqh  keutamannya yang tersendiri.  Sama-samalah menghormati sebuah pilihan. Kedua-duanya istimewa dan patut dimuliakan. Orang yang lebih bertaqwa itu pastinya lebih baik di sisi Allah SWT.



Antara 3 Kelompok



            Dr. Amru Abdul Karim Sa’dawi di dalam bukunya  berjudul Wanita Dalam Fiqih Al-Qaradhawi menulis, ada 3 kelompok besar yang berbicara tentang pakaian wanita iaitu:

1.       Kelompok yang inginkan kebebasan mutlak bagi wanita dalam berpakaian.

2.      Kelompok yang inginkan penutupan mutlak bagi wanita dalam berpakaian termasuk menutup muka dan tapak tangan.

3.      Kelompok pertengahan yang menganggap Islam tidak mewajibkan model pakaian tertentu  atau warna tertentu bagi pakaian wanita.  Adapun model dan warna pakaian serta baju luar yang ada di sejumlah negara merupakan tradisi (adat) yang berlaku di sesuatu negara dan ini tentu berbeza dengan tradisi yang berlaku di negara lain. Apapun, Islam menetapkan sejumlah batasan dan sifat tertentu pada pakaian wanita Muslimah yang mesti dikenakan ketika  keluar rumah. (Mustafa At-Thahan, hal.167).

Bolehnya Menampakkan Wajah



            Boleh atau tidak boleh  menampakkan wajah adalah soal khilaf. Apabila dinamakan khilaf, kedua-dua kelompok mempunyai hujah tersendiri yang wajar dihormati. Bagi meringkaskan perbincangan agar tidak memberatkan pembaca, berikut dinyatakan hujah kelompok yang membolehkan menampakkan wajah yang menjadi pilihan penulis. Pembaca berhak mempunyai pilihan yang berbeza daripada penulis selagi mana pilihan itu berdasarkan hujah.

Syeikh Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Saya ingin jelaskan sebuah hakikat yang pada dasarnya sudah jelas, sebuah hakikat yang telah dikenal di kalangan ilmuan, iaitu perkataan tidak wajibnya penutup muka dan dibolehkannya membuka wajah dan kedua tapak tangan dari anggota wanita di hadapan lelaki. Ini adalah pendapat majoriti ulama fiqh sejak zaman sahabat.”

Pendapat ini berdasarkan dalil-dalil syariat dan riwayat dari para sahabat(atsar), dan bersandarkan kepada pandangan dan perbandingan akal sihat serta diperkuat pula oleh kenyataan yang berlaku  pada zaman keemasan umat ini.

Terlalu banyak hujah yang dikemukakan oleh Al-Qaradhawi berkaitan hal ini. Antaranya ialah:



Dalil  1

           

Tafsiran majoriti para sahabat terhadap surah an-Nur ayat 31,

“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.”

Mereka mengecualikan muka dan tapak tangan. Antara mereka yang berpandangan demikan ialah Anas bin Malik, Ibnu Abbas, Aisyah, Said bin Jubair, Atha’,  Qatadah, Musawwir bin Makhramah, Ibnu Juraij dan lain-lain. Imam At-Tabari, Ar-Razi, Baidhawi dan lain-lain menyokong pendapat Ibnu Abbas dan lain-lain.





Dalil 2



Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Aisyah r.ha. bahawa Asma’ binti Abu Bakr pernah mendatangi rumah Nabi SAW (baginda merupakan adik ipar Asma’) dengan mengenakan pakaian tipis yang menampakkan tubuhnya. Lalu Nabi SAW berpaling daripadanya dan berkata, “Wahai Asma’, sesungguhnya seorang wanita yang telah haid tidak dibolehkan menampakkan bahagian daripada (tubuh)nya kecuali ini dan ini.” Baginda SAW memberikan isyarat kepada wajah dan kedua telapak tangan. Hadis di atas banyak dikuatkan oleh pelbagai hadis sahih lainnya.

Al-Bani  menilai hadis  ini hasan dalam kitabnya, Hijab al-Mar’ah al-Muslimah, meskipun statusnya mursal dan perawinya dhaif. Ini kerana ada hadis penguat (hadis syahid) dari riwayat Asma’ binti Umais. Riwayat penguat lain ialah realiti yang berlaku pada zaman Nabi dan sahabat, ramai wanita tidak berniqab.



Dalil 3



Pada waktu-waktu tertentu (bukan semua waktu), mengenakan penutup wajah dipandang aneh dan menimbulkan tanda tanya.  Imam Abu Dawud meriwayatkan dari Qais  bin Syimas r.a. berkata, “Seorang wanita (yang dikenal sebagai Ummu Khalad) datang menemui Rasulullah. Dia datang dengan wajah tertutup. Dia bertanya perihal anaknya yang terbunuh. Beberapa orang sahabat berkata kepadanya,

“Saudari datang untuk bertanya dengan wajah tertutup?”

Ummu Khalad berkata,

“Walau anak saya terbunuh, tapi tidak dengan rasa malu saya.”

Jika memang penutup muka pada zaman itu sudah mentradisi lalu apa alasan perawi berkata sesuatu yang menunjukkan mereka hairan dengan penampilan Ummu Khalad. Jawapan Ummu Khalad menunjukkan alasannya menutup wajah adalah kerana rasa malu bukan kerana perintah Allah dan Rasul.

Kalau memang penutup  wajah wajib secara  syariat, tentu  dia tak akan menjawab demikian dan sahabat tidak bertanya demikian, seakan bertanya,

“Kenapa kamu solat?”



Dalil 4



Al-Baihaqi meriwayatkan dari Ibnu Abbas dan Aisyah, Rasulullah melarang wanita dalam ihram mengenakan penutup wajah. (HR Bukhari).

Jika wajah dan tapak tangan memang aurat, kenapa Rasulullah melarang menutupnya? Padahal, apa-apa yang dilarang ketika ihram seperti menggunakan pakaian berjahit,berburu dan memakai wangian pada asalnya boleh. Bagaimana boleh dikatakan yang wajib ketika ihram (membuka wajah), pada asalnya adalah haram pula? 

Ulama sepakat bolehnya wanita membuka wajah ketika solat dan haji. Apakah mungkin syariat membenarkan terbukanya aurat ketika haji dan solat?



Dalil 5



            Perintah kepada lelaki menundukkan pandangan dalam Surah an-Nur, ayat 30 dan dalam banyak hadis. Jika semua wanita menutup wajah, apa maknanya  perintah ini?



Dalil 6



            Perintah Allah dalam surah An-Nur, ayat 31, “Dan hendaklah mereka menutupkan kain ke dadanya,” tentang menutup dada, bukan menutup wajah. Jika menutup wajah itu wajib,tentu Al-Quran mengatakannya dengan jelas sejelas ayat perintah menutup dada ini.



Dalil 7



            Dalam Surah al-Ahzab, ayat 52, “meskipun kecantikannya menarik hatimu…”. Bagaimana mengetahui kecantikan  seorang wanita jika wajahnya wajib ditutup?



Dalil 8



Satu kenyataan yang turut diakui oleh golongan yang mewajibkan  niqab ialah wanita pada zaman awal Islam tidak seluruhnya menutup  wajah, melainkan hanya beberapa orang sahaja dan pada  waktu-waktu tertentu sahaja.



Apabila Lelaki Memandang Dengan Syahwat



As-Shawi berkata, “Apakah wajib bagi wanita, pada saat lelaki memandangnya  dengan syahwat untuk menutup wajah dan tapak tangannya?”

Ibnu Marzuq berkata. “Tidak wajib baginya.”

Perintah menundukkan pandangan ditujukan kepada lelaki tersebut. Pendapat ini dikutip oleh Mawwaq dari Qadhi Iyadh. Marzuq membezakan antara wanita cantik atau tidak.

Namun, kecantikan seorang wanita adalah suatu yang relatif. Si A mungkin memandangnya cantik tapi si B mungkin memandangnya tidaklah cantik sangat. Lagipun,bagaimana seseorang wanita itu tahu seorang lelaki itu sedang memandangnya dengan nafsu?

 Terdapat hadis tentang Rasulullah memalingkan wajah Fadhl bin Abbas daripada memandang seorang wanita dari Khats’am yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa wanita itu memang cantik. IbnuHazm berkata, “Jika wajah (cantik) itu aurat, tentu Rasulullah memerintahkan wanita itu menutupnya.”

            Bolehnya wanita menampakkan wajah tidak bermakna bolehnya lelaki melihatnya. Sebahagian ulama melarang lelaki melihat wanita kecuali pandangan pertama yang tidak disengaja.

Sebahagian ulama yang lain pula mengharuskan memandang wajah wanita dengan syarat  tanpa hasrat seksual. Jika timbul syahwat dengan memandang wajah wanita ketika itu haram hukumnya memandang wajahnya. Dr.Yusuf Al-Qaradhawi memilih pendapat ini dalam bukunya An-Niqab Lil Mar’ah.



Membuka Wajah Suatu Keperluan dalam Komunikasi Berkesan



            Wanita dan lelaki harus berkomunikasi  dalam muamalat atau urusan-urusan hidup seperti berjual beli, kesaksian, wakil-mewakilkan dan sebagainya.

            Ulama fikih sependapat wanita hendaklah membuka wajah ketika memberi keterangan di hadapan hakim, sehingga hakim,saksi dan lawan bicara mampu mengenalnya dan anak siapakah dia.



Fiqh Dakwah: Menjaga Dakwah Lebih Utama



            Di antara kaedah yang disepakati dan tidak diperdebatkan ialah fatwa boleh berubah dengan berubahnya zaman, tempat, kebiasaan dan keadaan.

            Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Saya berkeyakinan, zaman kita sekarang telah memberi wanita banyak peluang dan kesempatan yang mengharuskan kita untuk menyusun kembali pemikiran-pemikiran kita  yang memudahkan  wanita untuk  membentuk keperibadiannya.”

            “Di dalam kitab Al-Ijtihad fi Asy-Syariah al-Islamiyyah, saya  menyebutkan, saya menganjurkan wanita yang bergerak dalam bidang dakwah hendaklah tidak mengenakan penutup wajah. Alasannya agar tidak menjadi penghalang komunikasi antara dirinya sebagai da’i dan masyarakat sebagai objek dakwah. Menjaga kemaslahatan dakwah lebih penting dari apa-apa yang dia berjaga-jaga kerananya.”



Jangan Bergaduh Soal Niqab



            Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengingatkan, “Tidak dibenarkan bagi saudari-saudari yang menutup wajahnya dan menyeru kepada menutup wajah, menyerang wanita muslimah yang berpegang, beramal dan berdakwah dengan pendapat majoriti ulama yang mewajibkan jilbab tanpa penutup wajah.”

            “Seharusnya serangan mereka diarahkan kepada kaum liberalis yang  mengarahkan kaum wanita muslimah berpakaian terbuka ala Barat. Para muslimah itu sendiri telah bersusah payah mempertahankan jilbabnya di lingkungan kerjanya, kampungnya dan rumahnya.”



Pada Kesulitan Ada Kemudahan



            Mewajibkan wanita berniqab pada zaman ini melahirkan banyak kesulitan. Allah memberi keringanan dalam setiap kesulitan. Allah SWT berfirman,”Dia tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.” (Al-Haj: 78).

            Rasulullah bersabda, “Saya diutus dengan kelapangan dan toleransi beragama.” Hingga ulama kita memberi kaedah, kesulitan mendatangkan kemudahan.

            Rasulullah memerintahkan kita mempermudah urusan bukan menyulitkan, memberi berita gembira bukan menakutkan.

Yang berniqab teruskan berniqab. Yang tidak berniqab, jangan rasa berdosa kerana tidak berniqab. Masing-masing ada peranan. Masing-masing mengikut contoh para sahabiah. Masing-masing mengikut sunnah secara manhajnya, dan menutup aurat. Apa yang penting, kedua-duanya saling menghormati, memahami, saling membela, tidak menghukum, tidak saling merendahkan kerana merasa diri lebih baik, tidak berpecah belah dan saling bersatu. Utamakan akhlak, baik sangka dan lapang dada dalam berbincang dan melontarkan pandangan agar keindahan akhlak Islam tersebar mewangi ke segenap alam.

wallahua'lam.

(Sumber: Artikel asal: Mana Lebih Utama, Berniqab atau Tidak?
Layari: http//muslimeenart.blogspot.com)

Friday, December 30, 2011

~Harapan adalah Nafas Kehidupan...

Bismillahirrahmaanirrahim...

 Kadangkala kita sering tersalah faham dalam membezakan antara putus asa dan pasrah. Ini kerana   implementasinya hampir sama yang bermaksud berhenti atau menyerahkan apa saja yang bakal terjadi pada suratan takdir. Disini terdapat perbezaan situasi antara pasrah dan putus asa.

Contohnya, doktor ingin melakukan pembedahan kepada seorang mengidap kanser yang kritikal, namun ahli keluarganya menolak. Mereka menolak bukan kerana kesempitan wang , tetapi mereka sudah pasrah pada ketentuan Ilahi. Akhirnya pesakit itu meninggal.

Pada situasi lain pula, seorang doktor berunding dengan seorang pemuda yang ayahnya diserang strok, meskipun keadaan ayahnya sudah kritikal, namun si anak tetap berusaha mengubati ayahnya walau berapa sahaja kosnya, sembuh atau tidak dia pasrah pada Ilahi. Seperti yang pertama, Pesakit ini juga meninggal.

Dari dua situasi diatas, soal kesembuhan keluarga ini sudah pasrah kepada Allah SWT, dan akhirnya mereka kehilangan orang tersayang untuk selamanya.

Tetapi ada perbezaan diantara dua situasi diatas. Bezanya terletak pada usaha yang maksimum. Ikhtiar yang bersungguh – sungguh sebagai memenuhi sunah kauniyah yang digariskan olehNYA. Oleh itu usahalah yang akan menjadi penentu, mana yang layak disebut pasrah dan yang mana yang disebut putus asa.

Sebelum ikhtiar yang maksimum, semestinya kita menutup serapat – rapatnya kata pasrah.

Mari kita renungkan firmanNYA:”Oleh itu sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya,hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya (Surah Al-Kahfi,ayat 110)

Barang siapa yang ingin tercapai hasrat yang mulia, maka beramallah, bergeraklah dan melangkahlah. Kesalahfahaman dalam membezakan dan menentukan kedua – duanya akan membuat seseorang itu menyerah kemudian menamakannya sebagai pasrah. Sebenarnya dia masih mampu berlari tetapi memilih berhenti, masih mampu berenang ke tepi tetapi berdiam diri akhirnya tenggelam.

Padahal hidup adalah perjuangan, kerana senario hidup adalah ujian bagi manusia.

Sebagaimana firmanNYA :”Dia lah yang telah mentakdirkan mati dan hidup(kamu)-untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu;siapakah diantara kamu yang terbaik amalannya,dan ia maha kuasa(membalas amal kamu),lagi maha pengampun (Surah Al-Mulk ayat 2).

Nafas Kehidupan..

Putus asa. Mengapa dinamakan putus? Mungkin kerana asa pengharapan, tujuan dan cita-cita diibaratkan sebagai rantai penggerak dalam jiwa. Ia harus kukuh, kuat dan semakin kuat. Harapan dan cita-cita adalah nafas kehidupan.

Bukankah sesudah mendaki kita akan menurun? Bukankah dengan airmata juga tercapai sukacita?

Cita-citalah yang membangkitkan semangat orang yang mendaki, kerana disebalik pendakian akan ada penurunan, menjadikan perjalanan lebih mudah. Kalau tidak kerana cita-cita hilanglah nafsu bekerja, berhenti gerak dunia, padam pelita orang-orang bijak bistari.

Cita – cita adalah pokok pangkal kemajuan, kerana makhluk yang bernama manusia sahaja yang layak mendapat kemajuan, makhluk lain tidak.

Cita-citalah yang menghilangkan rasa sakit, melupakan kepedihan dan kesulitan. Sebab cita – cita itu sendiri adalah ‘dynamo’ hidup. Jangan diabaikan cita-cita yang tumbuh, pupuklah ia. Para petani yang tekun disawah, dibawah cahaya matahari sehingga hitam kulitnya, semua adalah lantaran cita-cita. Cita-citalah tiang kemajuan, tonggak gerak bumi dan menimbulkan nafsu bergerak.

Kita bergerak kerana ‘percikan-percikan’ api pengharapan yang membakar niat dan tekad. Semakin besar kecintaan kita pada harapan dan cita-cita semakin besar pula percikan api dan tenaga yang dihasilkan. Bertambah kuat pula keberanian,tekad dan semangat menghadapi segala risiko dan tentangan. Semakin gigih pula otak kita bekerja mencari cara, berinovasi dan mengatur strategi agar berjaya mendapatkannya.

Dapatlah kita gantungkan azam atau himmah yang tinggi. Himmah yang tinggi berbeza dengan angan-angan yang tinggi, kerana angan-angan yang tinggi hanya menyebabkan seseorang pemuda mengelamun, dia tidur di siang hari pada waktu orang lain bekerja keras, dan berangan – angan hendak membeli kereta mewah dan sebagainya. Akhirnya kerana terlampau berangan – angan tinggi tanpa kerja keras akhirnya pemuda itu jatuh.

Cita-cita membawa kebesaran dan kemuliaan sedangkan angan-angan merosak dan membawa kepada kejurang kehinaan.

Oleh itu tetaplah berharap, kerana seorang muslim tidak akan pernah berhenti mengharap. Dalam setiap amal ibadahnya, dia selalu mengharapkan kasih sayang dan rahmat Tuhannya. Dalam setiap gerak kehidupannya, dia selalu menanamkan tujuan dan cita-cita untuk kebaikannya dan kehidupan. Dan jika harapan pernah terputus, maka sambunglah kembali.

Kadangkala, lantaran putus asa yang mendalam, sesetengah orang jemu dengan kehidupan, bak pepatah “hidup segan mati tak mahu”. Seorang mukmin tidak akan mudah berputus asa, walaupun pintu disekelilingnya seakan – akan tertutup.

Rasulullah SAW bersabda:

”Janganlah salah seorang dari kamu meminta mati kerana kesulitan hidup yang menimpanya.Jika perlu ucapkanlah doa seperti berikut ‘Ya Allah panjangkanlah umurku sekiranya hidup ini lebih baik bagiku,dan matikanlah aku sekiranya mati itu lebih baik bagiku”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Marilah membangunkan harapan dengan tauladan seperti Sayyidah Hajar yang tetap berlari mencari air, meskipun dalam pandangan hanya ada fatamorgana dan padang pasir sahaja. Dan seperti Nabi SAW, yang tidak membiarkan malaikat menjatuhkan gunung, walaupun penduduk Thaif menolak dakwahnya dengan kasar, malah baginda tetap menaruh harapan pada anak dan cucu mereka.


Dengan memperbaiki amalan dan usaha serta diiringi doa, bererti kita telah mencuba kearah kebaikan agar tercapai harapan dan cita-cita. Harapan umpama aliran darah yang terus mengalir sepanjang Hayat kita. Janganlah kita berputus asa dari Rahmat Allah SWT…

Subhannallah Walhamdilillah waLailahailallah Allahuakbar.

Wallahua'lam.
Sumber:Akuislam.com

Tuesday, December 27, 2011

~33 ciri-ciri gadis muslimah sopan, istiqomah dalam amalannya...

Bismillahirrahmaanirrahim...
sedikit perkongsian buatku dan sahabat2..
InsyaALLAH, moga kita semua bisa menjadi muslimah solehah...amin ya Rabbal a'lamin!



  1. .Solat tepat waktu
  2. .Banyak amalan sunat dan bibir basah dengan zikir.
  3. .Butir bicaranya terselit dengan kalimah seperti bismillah,
  4. .alhamdulillah, insyaALLAH, subhanallah, Allahuakhbar dan lain-lain zikir.
  5. Tidak mengeluh dengan masalah remeh kehidupan hariannya.
  6. .Bercakap dengan rendah suara.
  7. .Lembut dan halus tingkahlakunya.
  8. .Tuturbicara yang senang didengar tanpa kata lucah atau sumpah seranah.
  9. .Pakaian longgar tanpa mendedahkan bentuk tubuh.
  10. .Rambut, leher dada yang sentiasa ditutup dan dijaga dari pandangan lelaki bukan muhrim dan mereka bukan Islam.
  11. .Sukakan kanak-kanak dan kanak-kanak menyukainya.
  12. .Pandai mengambil hati orang tua.
  13. .Menghormati dan taat ibubapa.
  14. .Kesayangan keluarga dan tetangga.
  15. .Contoh kepada adik-adik dan mencontohi orang tua.
  16. .Berkuku pendek sentiasa bagi menyempurnakan wudhu
  17. .Rambut tak diwarnakan.
  18. .Banyak dan murah dengan senyuman.
  19. .Banyak mendengar dari bercakap.
  20. .Senyuman adalah ketawanya.
  21. .Tidak ketawa terbahak-bahak.
  22. .Suaranya tidak lantang dan jarang didengari oleh lelaki bukan muhrim.
  23. .Tidak suka bersiar-siar atau keluar rumah tanpa urusan penting bagi mengelakkan fitnah.
  24. .Menjauhi kumpulan yang sedang mengumpat dan mengeji supaya tidak dikira bersubahat.
  25. .Tidak menghebohkan kedukaan hatinya dan menyembunyikan kesedihannya.
  26. .Menerima dugaan sebagai ujian ALLAH dan kafarah dosanya.
  27. .Sentiasa berdoa baik untuk keluarga, orang lain dan juga untuk orang yang menganiayanya.
  28. .Pandai bergaul dengan semua orang tanpa mengira tahap pendidikan dan taraf.
  29. .Tidak boros dalam berbelanja dan pandai menguruskan kewangannya.
  30. .Berhati-hati dengan apa yang dimakannya dan menjauhi makanan syubhah.
  31. .Sayangkan dan kasihan binatang peliharaan seperti kucing, arnab, burung, ikan dan lain-lain.
  32. .Suka kepada alam sekitar, suka berkebun dan bunga.
  33. .Menitik-beratkan aurat yang dianggap remeh seperti tumit kaki, kaki, siku dan lengan. Caranya dengan memakai sarung tangan dan sarung kaki.

Wallahua'lam. (^_^)v







Sunday, December 25, 2011

~Cinta mencintai kerana Allah...

    Kedudukan Dua Orang Yang Cinta Mencintai Kerana Allah Sesungguhnya terdapat banyak hadith Rasulullah SAW yang menerangkan kedudukan dan darjat dua manusia yang saling cinta mencintai kerana Allah. Hadis-hadis ini menggambarkan kedudukan mereka yang mulia dan tinggi yang telah disediakan oleh Allah di dalam SyurgaNya. Di antara hadis-hadis itu ialah yang menceritakan kisah tujuh golongan lelaki yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungannya ketika mana tidak ada lagi naungan yang lain kecuali naungan Allah sahaja.

Hadis yang bemaksud:
“Mereka itu ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang membesar di dalam beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya terikat kepada masjid-masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita jelita dan cantik rupawan lalu ia berkata “aku ini takut kepada Allah”, seorang lelaki yang bersedekah melalui tangan kanannya lalu disembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengatahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya, dan seorang lelaki yang berzikir kerana Allah (yang mengingati Allah) bersunyi ( keseorangan) lalu mengalir air matanya”
( muttafaqun alaihi)

Ini adalah dalil dan nas yang jelas menggolongkan dia sebagai orang yang berkasih sayang kerana Allah di kalangan tujuh orang yang baik lagi terpilih untuk dinaungi dibawah naungan-Nya. Inilah penghormatan dan kemuliaan paling tinggi yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Di manakah lagi kita akan dapati kemuliaan yang seperti itu ???

Sesungguhnya kemulian ialah hak bagi kedua-dua orang yang berkasih sayang kerana Allah S.W.T. Dimana pada hari tersebut (kiamat) Allah Taala Rabbul Izzah menyeru mereka dan mempersilakan mereka untuk menerima anugerah yang paling tinggi, iaitu pada hari berhimpunnya sekelian bani (anak) Adam di Padang Mahsyar yang maha luas itu.


Diriwiayatkan oleh Muslim didalam hadis Qudsi yang bermaksud:
“Dimanakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku pada hari ini, Aku perlindungi mereka dibawah naungan Ku pada hari yang tiada lagi naungan kecuali nuangan-Ku”
Alangkah tingginya kemuliaan mereka. Alangkah sempurnanya ganjaran yang akan mereka dapati kerana merekaberkasih sayang kerana Allah.
Sesungguhnya cinta kerana Allah bukan kerana sesuatu yang lain sahaja yang ada dalam hidup ini. Hidup ini adalah hidup yang penuh dengan pelbagai kepentingan diri dan pelbagai perkara yang disukai oleh hawa nafsu. Jadi, cinta kerana Allah dalam suasana yang demikian sangat payah untuk dicapai dan dicari. Tiada siapa yang mampu mencapainya kecuali orang yang telah bersih jiwanya, tinggi semangatnya dan mereka mampu melihat betapa hinanya dunia ini berbanding keredhaan Allah. Tidak hairanlah kalau Allah telah menyediakan bagi mereka darjat yang tinggi sesuai dengan ketinggian mereka didunia dalam mengatasi segala kesibukan dunia yang serba mewah dan penuh dengan perhiasan ini.
Kita dapati keterangan demikian dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muaz dari Rasulullah S.A.W baginda bersabda:
“Allah Azzawajalla berfirman: orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku, mereka mempunyai beberapa-beberapa mimbar dari cahaya, para nabi dan shuhada yang menyukai mereka “
[riwayat Attarmizi]
Marilah sama-kita renung seketika hadis-hadis Abu Hurairah (R.A)        
maksudnya: ” Bahawasanya ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya (sahabat) di sebuah kampung yang lain, lalu Allah menyuruh malaikat memerhatikannya di atas jalannya. Maka tatkala dia sampai dia berkata : Engkau hendak ke mana ? Lelaki tersebut menjawab: Aku hendak menemui seorang saudara ku di kampung itu. Malaikat bertanya lagi ” Adakah engkau telah berbudi kepadanya dan engkau mengharapkan balasannya?” Beliau menjawab ” tidak, aku mencintainya kerana Allah” Maka malaikat itu brekata kepadanya “Bahawa sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau, sesungguhnya Allah telah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai dia kerana Allah.
Alangkah besarnya cinta yang sedemikian yang mengangkat manusia sampai ke darjat di mana Allah mencintai dan meredhainya.
 Wallahua'lam.

~Cukuplah DIA..


Di saat aku memerlukan perlindungan,
Namun tiada siapa yang dapat melindungi,
Dia tempat aku berharap,
Yang nyawaku di dalam tanganNya,
Dia tempat aku meminta belas,
Dia itu Allah,
Dialah pelindungku.

Bila aku bersedih hati,
Tetapi tiada yang sudi mendengar,
Dia mendengarkan semua tuturku,
Walau aku cuma menyusun kata senyap di dalam hati,
Walaupun tak sepatah aku tuturkan,
Dia mendengarkan,
Dialah pendengarku.

Dan aku tidak pernah keseorangan,
Meskipun di saat bersendirian,
Setiap gerak-geri makhluk di dalam perhatianNya,
Tidak mengira tempat dan masa,
Dia takkan pernah terlepas pandang,
Dia lah penemanku di mana saja.

Apabila aku memerlukan semangat,
Tetapi tiada yang ingin menjadi pendorong,
Aku tahu aku ada Dia, cukuplah Dia,
Lalu aku rujuk kalamNya,
Kerana di situ aku temui madah-madah indah,
Pembakar sebuah semangat yang hampir malap.

Bila aku rasa dunia ini tidak membahagiakan,
Aku ingat pada janjiNya,
Sesungguhnya bahagia yang kekal adalah syurga,
Tak akan aku temui bahagia itu di dunia,
Lalu aku redhakan segalanya,
Demi untuk bertemu bahagia yang hakiki di sana.